Skip to main content

Iklan

Iklan

Filem 'Munafik' rangkul 4 anugerah Festival Filem Malaysia

Filem 'Munafik' membawa pulang empat trofi termasuk Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia 28 (FFM 28) di Kuala Lumpur.

Anggaran Waktu Membaca:
Filem 'Munafik' rangkul 4 anugerah Festival Filem Malaysia

Syamsul Yusof mengangkat trofi Filem Terbaik Nasional bersama kru filem 'Munafik' di Festival Filem Malaysia. (Gambar: FINAS/Facebook)

Diterbitkan : 04 Sep 2016 04:27PM Dikemas Kini : 04 Sep 2016 04:57PM

KUALA LUMPUR: Filem 'Munafik' membawa pulang empat trofi termasuk Filem Terbaik Nasional di Festival Filem Malaysia 28 (FFM 28) di Kuala Lumpur.

Menerusi filem itu, pengarahnya Syamsul Datuk Yusof turut merangkul Anugerah Pengarah Terbaik dan Anugerah Penyunting Terbaik, manakala aktres Nabila Huda menggondol gelaran Pelakon Wanita Terbaik di majlis semalam itu (3 Sep).

Pelakon Lelaki Terbaik dimenangi Pekin Ibrahim menerusi filem 'Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit'.

Filem Tamil tempatan 'Jagat' diangkat menjadi Filem Terbaik Malaysia FFM 28 dengan pengarahnya Shanjey Kumar Perumal memenangi anugerah Pengarah Baharu Terbaik.

Sebanyak tiga filem diberikan Anugerah Khas Juri iaitu 'Ola Bola', 'Polis Evo' dan 'The Kids From The Big Apple'.

Anugerah itu, yang diterajui pengacara Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad, turut menyaksikan Deddy M Borhan iaitu pengarah dan penerbit filem termasuk filem 'Azura', 'Gila-gila' dan 'Toyol' dinobatkan sebagai Karyawan Sepanjang Zaman.

Filem 'Polis Evo' turut menggondol tiga anugerah termasuk Filem Box Office dengan jumlah kutipan tayangan sebanyak RM17.4 juta (S$6 juta).

Pelakon Baharu Wanita Terbaik dan Pelakon Baharu Lelaki Terbaik pula dimenangi Falisha Crossley (Mat Moto-Kami Bukan Mat Rempit) dan Adam Shaz (Juvana 2).

FFM tahun ini juga menyaksikan pelakon veteren Fauziah Datuk Ahmad Daud memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem 'Langit Cinta', manakala Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik disandang Hushairi Hussain (Polis Evo).

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Timbalan Perdana Menteri Datin Seri Hamidah Khamis, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad dan Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Datuk Kamil Othman.  

Sumber : Bernama/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan