Skip to main content

Iklan

Iklan

FDA AS luluskan suntikan pertama vaksin COVID-19 bagi budak 5-11 tahun

Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubatan-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan vaksin koronavirus bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, sekali gus menjadikannya suntikan pertama untuk budak kecil di negara itu. 

Anggaran Waktu Membaca:
FDA AS luluskan suntikan pertama vaksin COVID-19 bagi budak 5-11 tahun

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 30 Oct 2021 04:04PM Dikemas Kini : 30 Oct 2021 04:10PM

WASHINGTON: Jabatan Pentadbiran Makanan dan Ubatan-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat meluluskan vaksin koronavirus bagi kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun, sekali gus menjadikannya suntikan pertama untuk budak kecil di negara itu.

Suntikan itu bagaimanapun tidak ditawarkan dengan serta-merta kepada kumpulan usia tersebut, lapor Reuters. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit AS masih perlu menasihatkan tentang bagaimana suntikan itu harus diberikan. Ia akan diputuskan selepas sebuah kumpulan penasihat luar negara membincangkan rancangan itu pada Selasa.

Pfizer menyatakan ia akan mula menghantar botol-botol vaksin ke pusat-pusat farmasi untuk kanak-kanak tersebut pada Sabtu, pejabat pediatrik dan tempat-tempat lain di mana suntikan akan diberikan.

Dengan keputusan FDA itu, lapor Reuters, vaksin dijangka disediakan kepada 28 juta kanak-kanak di Amerika, dengan kebanyakannya sudah kembali ke sekolah untuk pembelajaran secara fizikal.

Keputusan itu dibuat selepas sebuah panel penasihat kepada pengawal selia mengundi untuk menyarankan agar suntikan vaksin diluluskan bagi golongan tersebut pada Selasa.

Sejauh ini, hanya beberapa negara - termasuk China, Cuba dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) - sudah meluluskan vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak dalam kumpulan usia tersebut atau lebih muda.

FDA meluluskan dos vaksin Pfizer sebanyak 10 mikrogram bagi kanak-kanak kecil. Ia lebih rendah berbanding dos 30 mikrogram bagi vaksin asal untuk individu berusia 12 tahun dan ke atas.

Penasihat panel FDA berkata dos lebih rendah boleh membantu mengurangkan beberapa kesan sampingan yang jarang berlaku. Ini selepas memberikan perhatian rapi terhadap kadar keradangan jantung atau miokarditis, yang dikaitkan dengan kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna, terutamanya pada lelaki muda.

Badan pengawal selia itu turut menyatakan pada Jumaat bahawa manfaat vaksin Pfizer bagi individu berusia antara lima hingga 11 tahun melebihi risikonya.

Bagi suntikan untuk kanak-kanak, FDA meluluskan satu versi baru vaksin itu yang menggunakan penampan baru dan membolehkan ia disimpan dalam peti sejuk sehingga 10 minggu.

Awal minggu ini, menurut Reuters, Moderna melaporkan data sementara yang menunjukkan bahawa vaksinnya menghasilkan kekebalan yang kuat dalam kanak-kanak berumur enam hingga 11 tahun. Syarikat itu sedang menantikan keputusan pengawal selia AS untuk meluluskan vaksinnya bagi budak berusia antara 12 hingga 17 tahun.  

Sumber : Reuters/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan