FAQ: Apa yang perlu anda tahu tentang kit uji sendiri COVID-19
Mulai Rabu (16 Jun), orang ramai boleh membeli kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dari farmasi-farmasi tempatan.
The Abbott PanBio COVID-19 Antigen Self-test dan QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test. (Gambar: Gaya Chandramohan/CNA)
SINGAPURA: Mulai Rabu (16 Jun), orang ramai boleh membeli kit ujian pantas antigen (ART) COVID-19 dari farmasi-farmasi tempatan.
Kit itu berupaya mengesan sejenis zat dalam sampel pengguna yang dijangkiti COVID-19 dan biasanya paling berkesan bagi mereka yang masih pada tahap awal jangkitan.
Buat masa ini, empat kit sudah mendapat kelulusan sementara daripada Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk dijual kepada orang awam: The Abbott PanBio COVID-19 Antigen Self-test, QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test, SD Biosensor SARS-CoV-2 Antigen Self-Test Nasal, dan SD Biosensor Standard Q COVID-19 Ag Home Test.
Menurut Kementerian Kesihatan (MOH), ujian menggunakan kit tersebut membolehkan pengguna mendapatkan hasilnya dalam masa kurang 20 minit.
Ini yang perlu anda tahu, sekiranya anda merancang untuk membeli kit ART apabila ia tersedia dalam pasaran pada minggu depan.
SOALAN: Di mana saya boleh membeli kit ART?
Kit uji sendiri itu akan dijual di cawangan-cawangan tertentu Unity, Watsons dan Guardian di merata Singapura.
Bermula 16 Jun, kit-kit ini boleh diperolehi daripada ahli farmasi di farmasi-farmasi tertentu, kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada 10 Jun.
"Kami kemudian akan secara bertahap-tahap menjualnya di kaunter," tambah beliau.
Kit uji sendiri hanya boleh diperolehi daripada ahli farmasi. Bermakna, pelanggan perlu berunding dengan mereka sebelum dapat membelinya. Kit-kit tersebut boleh dibeli tanpa preskripsi seorang doktor, menurut HSA dalam kemas kininya pada 10 Jun.
Menurut Quantum Technologies Global, iaitu pengedar kit QuickVue, latihan akan disediakan kepada ahli farmasi supaya mereka dapat mengajar pelanggan tentang cara betul menggunakan kit berkenaan.
Kit ujian QuickVue. (Gambar: CNA)
Semua 79 cawangan Guardian yang mempunyai farmasi dalam kedai akan menjual kit ART COVID-19. Ini termasuk kedai Guardian di Giant yang terletak di Suntec City, kata jurucakap Dairy Farm Group sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.
Pelanggan boleh melungsuri laman Guardian untuk tahu cawangan mana yang mempunyai farmasi.
Guardian akan menawarkan kit ujian The Abbott PanBioTM COVID-19 Antigen Self-test dan QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test, tambah jurucakap itu.
Kit ujian The Abbott PanBioTM. (Gambar: CNA)
39 farmasi Unity juga akan menawarkan kit itu bermula 16 Jun, kata seorang jurucakap Fairprice kepada Mediacorp.
Cawangan-cawangan itu "dipilih khusus" kerana mempunyai ahli farmasi yang "terlatih secara profesional" untuk menilai sama ada kit sesuai untuk digunakan pelanggan. Ahli farmasi Unity akan turut menyediakan maklumat tentang cara-cara menggunakannya, kata jurucakap itu.
Watsons pula akan menjual kit DIY The Abbot Panbio COVID-19 Antigen Self-Test dan Quidel QuickVue At-Home OTC COVID-19 Test di semua kedai farmasinya pada fasa pertama kit tersebut ditawarkan, kata jurucakapnya.
Kit uji sendiri itu kemudian akan dijual secara bertahap-tahap di lebih banyak cawangan Watsons mahupun wadah onlinenya pada fasa kedua, kata jurucakap itu sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.
Para pelanggan boleh mencari lokasi farmasi Watsons menerusi laman rasmi atau aplikasi mudah alih Watsons.
SOALAN: Berapa harga kit dan bolehkah saya membeli lebih daripada satu kit?
Sebagai permulaan, setiap pelanggan hanya boleh membeli sehingga 10 kit ART. Ini bagi memastikan terdapat "bekalan mencukupi untuk semua", kata Pengarah Khidmat Perubatan MOH, Kenneth Mak pada 10 Jun.
Namun, apabila lebih banyak bekalan diperolehi bagi penjualan runcit, pihak berkuasa akan "membolehkan kit ujian dibeli tanpa sebarang had", katanya.
Menurut Watsons, sejajar dengan garis panduan MOH harga setiap kit di farmasi itu ditetapkan antara S$10 hingga S$13 - bergantung kepada saiz pek yang dibeli, kata jurucakapnya.
"Kami menasihatkan orang ramai agar mematuhi garis panduan had 10 kit bagi setiap pelanggan supaya ada bekalan mencukupi untuk semua orang. Kami juga akan memantau dengan teliti permintaan (dalam pasaran) dan menambah stok untuk memenuhi keperluan pelanggan," tambah beliau.
Jurucakap Fairprice pula berkata butiran tentang jenis dan harga kit belum lagi dimuktamadkan tetapi maklumat lanjut akan disediakan tidak lama lagi.
Jurucakap Dairy Farm turut berkata syarikatnya akan mematuhi garis panduan bagi harga kit yang ditetapkan MOH.
Mediacorp sudahpun menghubungi kementerian itu untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai harga kit-kit uji sendiri.
Ujian kit QuickVue menunjukkan keputusan negatif. (Gambar: CNA)
SOALAN: Bagaimana fungsi kit-kit ini?
Mereka yang menggunakan kit uji sendiri ini harus mengambil sampel daripada rongga hidung menggunakan swab yang disediakan dalam kit, jelas HSA dalam kenyataan medianya pada 10 Jun.
Sampel itu seterusnya boleh disiapkan menggunakan tiub dan cecair yang disediakan. Sebaik sahaja sampel siap, gunakan alat ujian dan baca hasilnya.
Semasa melakukan ujian tersebut, pengguna harus mengikut semua arahan tersedia dalam kit untuk mendapatkan hasil yang tepat.
Arahan bagi keempat-empat kit yang tersedia dalam pasaran berbeza sedikit.
Antara langkah yang perlu dilakukan. (Gambar: CNA)
SOALAN: Adakah kit ini berkesan dan tepat?
Umumnya, sensitiviti ART boleh mencecah sekitar 80 peratus bagi kes yang mempunyai jumlah virus lebih tinggi dalam tubuh. Kadar ketentuan ART pula adalah antara 97 hingga 100 peratus, menurut HSA.
Kadar sensitiviti merujuk kepada keupayaan kit untuk mengesan dengan tepat COVID-19 dalam tubuh pengguna sementara kadar ketentuan atau "specificity" adalah keupayaan kit untuk mengesan dengan tepat individu yang tidak dijangkiti COVID-19.
ART mempunyai sensitiviti yang lebih rendah berbanding ujian tindak balas rantai polimerase (PCR) - bermakna ujian sedemikian akan mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk menghasilkan keputusan negatif yang tidak tepat, jelas HSA.
SOALAN: Apa yang harus saya lakukan sekiranya melihat keputusan positif?
Mereka yang diuji positif menggunakan kit harus "segera" pergi ke Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) Swab dan Hantar Pulang (SASH) untuk menjalani ujian PCR pula, menurut MOH.
Selepas itu, mereka harus mengasingkan diri sehingga mendapat keputusan negatif.
Kit The Abbott PanBioTM menunjukkan keputusan negatif. (Gambar: CNA)
Mereka yang diuji negatif menggunakan kit harus terus berwaspada dan mematuhi langkah-langkah jarak selamat.
"Individu yang mempunyai simptom-simptom jangkitan pernafasan akut perlu tetap berjumpa doktor untuk didiagnos sepenuhnya dan menjalani ujian PCR."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.