Skip to main content

Engineering Good baiki komputer riba untuk pelajar dari keluarga pendapatan rendah

 Mereka sudah menerima lebih 190 komputer riba yang didermakan oleh rakyat Singapura sejak 5 April, dan jumlah itu kian meningkat.

Anggaran Waktu Membaca:
Engineering Good baiki komputer riba untuk pelajar dari keluarga pendapatan rendah

(Gambar: Engineering Good/Facebook)

Diterbitkan : 11 Apr 2020 01:09PM Dikemas Kini : 11 Apr 2020 01:30PM

SINGAPURA: Mereka sudah menerima lebih 190 komputer riba yang didermakan oleh rakyat Singapura sejak 5 April, dan jumlah itu kian meningkat.

Pertubuhan bukan meraih untung Engineering Good sedang mengumpul komputer riba bagi memastikan para pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah mendapat akses kepada pembelajaran di rumah dengan menggunakan komputer riba sendiri.

Ini dilakukan setelah Pemerintah mengumumkan bahawa mulai Rabu, semua sekolah dan institut pendidikan tinggi akan beralih ke pembelajaran di rumah sepenuhnya sehingga 4 Mei.

Ini adalah sebahagian daripada langkah pemutus rantaian jangkitan yang dikuat kuasakan pada 7 April. Pada tempoh ini, orang ramai dinasihati duduk di dalam rumah sedapat mungkin.

Engineering Good ditubuhkan pada 2014 oleh sekumpulan jurutera. Ia bertujuan memperkasakan golongan kurang bernasib baik dalam masyarakat, dengan menyediakan mereka akses kepada teknologi.

Selepas pengumuman bahawa sekolah-sekolah akan beralih sepenuhnya ke pembelajaran di rumah, Engineering Good menerima permintaan daripada kumpulan seperti Pusat Khidmat Keluarga Masyarakat Selatan Tengah, untuk membantu menyediakan komputer riba kepada para pelajar daripada kumpulan berpendapatan rendah.

Mereka kemudian berusaha memenuhi permintaan itu dengan membuat rayuan kepada rakyat Singapura di media sosial dan laman mereka untuk mendermakan komputer riba dan peralatan komputer. Mereka juga mendapatkan para relawan untuk menyelaraskan pendermaan dan menghantar komputer riba itu kepada SCC.

Usaha mereka itu membuahkan hasil apabila mereka melihat orang ramai datang ke pejabat mereka untuk mendermakan komputer riba dan berjaya merekrut 34 relawan.

Apabila menerima komputer riba itu, kumpulan di Engineering Good kemudian akan memperbaiki komputer riba itu sebelum menghantarnya kepada SCC.

Semuanya berjalan dengan lancar sehingga Selasa apabila langkah "pemutus rantaian" memaksa pertubuhan itu menghentikan kerja mereka dan menutup pejabat, sekurang-kurang buat tempoh terdekat ini.

Mujur, mereka mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa untuk membuka pejabat dan menyambung semula pekerjaan pada 8 April.

Encik Saad Chinoy, yang mengendalikan perhubungan Engineering Good memberitahu Mediacorp bahawa setakat ini pertubuhannya mempunyai lebih 190 komputer riba yang didermakan dan menerima lebih 100 permohonan daripada para individu dan keluarga yang berharap untuk menerima komputer riba.

Engineering Good sudah mendermakan 45 komputer riba dan 76 lagi komputer riba diperbaharui.

Bagi mereka yang mahu mendermakan komputer riba tidak terpakai atau lama mereka kepada Engineering Good, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi borang di laman mereka

Sumber : Today/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita