ELD keluarkan 226 sijil derma politik bagi GE2020
Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan pada Ahad (28 Jun) bahawa ia sudah mengeluarkan sebanyak 226 sijil derma politik kepada para calon yang layak.

(Gambar: Xabryna Kek)
SINGAPURA: Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan pada Ahad (28 Jun) bahawa ia sudah mengeluarkan sebanyak 226 sijil derma politik kepada para calon yang layak.
Dalam kenyataan medianya, ELD turut mendedahkan bahawa 37 sijil Jawatankuasa Masyarakat Melayu dan 34 sijil Jawatankuasa Masyarakat India dan Masyarakat Minoriti Lain juga sudah dikeluarkan.
Jabatan itu menerima 226 permohonan untuk mendapatkan sijil derma politik setakat sehingga Jumaat lalu apabila permohonannya ditutup.
Semua calon yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang mesti memperolehi sijil tersebut dan menyerahkannya pada Hari Penamaan Calon pada 30 Jun.
Para calon dikehendaki mengesahkan bahawa mereka sudah mematuhi syarat-syarat berhubung derma politik, termasuk peraturan yang melarang mereka daripada menerima pembiayaan dana daripada warga asing.
Sebanyak 93 kerusi menjadi rebutan di 31 kawasan undi bagi Pilihan Raya Umum akan datang, dengan 17 adalah GRC dan baki 14 adalah SMC.
Sekurang-kurangnya seorang calon dalam pasukan yang bertanding di sesebuah GRC mestilah daripada kaum minoriti - masyarakat Melayu atau India dan masyarakat minoriti lain.
Para bakal calon daripada masyarakat minoriti yang ingin bertanding di sesebuah GRC mesti mendapatkan sijil daripada jawatankuasa tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.