Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zuraida masih menteri Kabinet selagi Ismail Sabri tidak beri kata putus

Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri berkata Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Anggaran Waktu Membaca:
Zuraida masih menteri Kabinet selagi Ismail Sabri tidak beri kata putus

Zuraida Kamaruddin. (Gambar: Bernama)

TOKYO: Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri berkata Zuraida Kamaruddin masih menteri Kabinet dan perlu menjalankan tugas sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi seperti biasa, selagi beliau tidak membuat keputusan.

Encik Ismail Sabri berkata Cik Zuraida boleh menghadiri mesyuarat Kabinet terdekat kerana kedudukannya sebagai menteri Kabinet akan diputuskan selepas mereka bertemu kelak bagi membolehkan beliau mendapat pencerahan mengenainya.

"Saya tak pecat, dia masih menteri Kabinet sehingga mesyuarat (Kabinet) Rabu ini," katanya kepada para wartawan Malaysia di Tokyo pada Sabtu (28 Mei) di akhir lawatan kerja rasminya ke Jepun.

Pada Khamis, ketika Encik Ismail Sabri berada di Jepun untuk lawatan kerja rasminya, media di Malaysia melaporkan Cik Zuraida mengumumkan keputusannya untuk meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi serta meninggalkan Parti Bersatu dan menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Cik Zuraida juga dilaporkan terus menyokong kerajaan yang dipimpin Encik Ismail Sabri dan dilaporkan akan berjumpa perdana menteri itu dalam masa terdekat untuk membincangkan peletakan jawatannya sebagai menteri. 

Encik Ismail Sabri berkata beliau hanya mengetahui mengenai isu Cik Zuraida melalui liputan media dan Cik Zuraida masih belum menghubunginya sehingga kini.

"Sebelum dia hubungi, jumpa saya, dia (Zuraida) masih menteri sebab dia kata dia akan jumpa saya dan berbincang dengan saya. Jadi tunggu saya balik dulu, dia bincang dengan saya, baru kita buat keputusan," ujar perdana menteri itu.

Encik Ismail Sabri menambah beliau menghormati pelbagai pandangan berhubung Cik Zuraida, namun keputusan akhir mengenai kedudukan Cik Zuraida masih terletak pada perdana menteri.

Ditanya jika beliau akan menerima peletakan jawatan Cik Zuraida selepas mereka bertemu kelak, Encik Ismail Sabri berkata: "Saya tak nak cakap pasal 'jika' ini. Kita seberangi jambatan, baru kita buat keputusan. Sekarang jambatan pun tak nampak lagi."

Encik Ismail Sabri juga berkata sebarang perubahan pada Kabinet perlu dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong. 

"Kalau ada pelantikan baru, angkat sumpah, ia bukan satu perkara yang mudah. Saya mesti menghormati Agong," tegasnya.  

Ketika ditanya adakah Kabinet pimpinannya masih utuh dengan tindakan Cik Zuraida, Encik Ismail Sabri berkata: "Tiada isu sangat."

Menurut beliau, pandangan 'orang luar' mungkin menyangka Kabinet hari ini 'kelam kabut' kerana dianggotai pelbagai parti namun sebenarnya, anggota Kabinet sekarang akan meninggalkan segala perbezaan politik ketika membuat keputusan demi kepentingan negara.

"Bila masuk Kabinet, kita tinggalkan perbezaan contohnya di (pilihan raya negeri) Johor dan Melaka, kita tak bawa pun dalam Kabinet. Fokus kita dalam Kabinet adalah untuk kepentingan negara dan rakyat tanpa mengira parti mana. Kita buat keputusan secara bersama," katanya.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan