Zuraida masih anggota PKR, tidak sertai Bersatu
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin yang merupakan Naib Presiden PKR, tidak menyertai Bersatu, demikian jelas setiausaha politik beliau Encik Nor Hizwan Ahmad.
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Zuraida Kamaruddin yang merupakan Naib Presiden PKR, tidak menyertai Bersatu, demikian jelas setiausaha politik beliau Encik Nor Hizwan Ahmad.
Dalam mengesahkan hal itu, Encik Nor Hizwan dalam satu kenyataan semalam (20 Jan) turut mendedahkan bahawa Cik Zuraida sehingga kini, masih fokus menjalankan tanggungjawab dan tugasannya, sebagai ahli PKR dan Ketua Cabang PKR Ampang.
Penjelasan itu dibuat sambil merujuk kepada surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan beberapa borang keahlian Bersatu, kononnya adalah permohonan Cik Zuraida bagi menyertai parti itu.
"Saya turut ambil maklum mengenai surat itu, yang menggunakan kepala surat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Tindakan itu juga sangat tidak bertanggungjawab apabila mengaitkan kementerian dengan isu politik.
"Dengan tegas dinyatakan bahawa tularan itu adalah palsu dan merupakan kerja jahat dan amatur pihak tertentu, yang cuba menangguk di air keruh atas situasi politik dalaman parti, yang berlaku sekarang ini," katanya dalam kenyataan semalam.
Setiausaha Agung PKR Encik Saifuddin Nasution Ismail pada 18 Jan lalu dilaporkan berkata surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin parti itu, berhubung dakwaan salah laku disiplin sudah dihantar kepada Cik Zuraida.
Cik Zuraida dalam satu majlis di Putrajaya ketika ditemui pemberita semalam berkata, beliau akan menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan parti itu kepadanya dalam tempoh yang ditetapkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.