Zuraida Kamaruddin sedia lepas jawatan menteri jika diarah Ismail Sabri
Zuraida Kamaruddin. (Gambar fail: BERNAMA)
KUALA LUMPUR: Zuraida Kamaruddin bersedia melepaskan jawatan beliau sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi jika diarah berbuat demikian oleh Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob.
"Kalau beliau minta saya lepaskan, saya lepaskanlah," kata beliau ketika menjawab soalan berikutan keputusan beliau meninggalkan Bersatu untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas melancarkan Pembiayaan Global untuk Inovasi Getah oleh Majlis Getah Malaysia di Kuala Lumpur semalam (7 Jun).
Cik Zuraida juga memaklumkan beliau kini dalam keadaan siap sedia kerana belum menerima jemputan untuk bertemu Perdana Menteri.
"Beliau kata mahu jumpa saya minggu depan iaitu pada minggu ini, boleh jadi keseluruhan minggu ini tetapi saya dalam keadaan siap sedia," kata beliau semasa ditanya semalam sama ada beliau akan bertemu Encik Ismail Sabri.
Pada minggu lalu, Perdana Menteri mengesahkan masih belum bertemu Ahli Parlimen Ampang itu untuk membincangkan kedudukan beliau dalam Kabinet.
Encik Ismail Sabri berkata pertemuan itu belum diadakan memandangkan Cik Zuraida masih bercuti selepas pulang dari lawatan kerjanya ke Turki dan Greece baru-baru ini.
Sementara itu, ketika ditanya sama ada akan menghadiri mesyuarat Kabinet pada hari ini (8 Jun), Cik Zuraida berkata beliau masih lagi menjalankan tanggungjawab sebagai menteri.
"Seperti yang Perdana Menteri katakan, saya masih menteri, jadi sebab itu saya hadir untuk merasmikan program ini," kata beliau.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.