Zon Ekonomi Khas Johor-SG kerjasama luar biasa dan istimewa, kata PM Anwar
Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) merupakan satu langkah kerjasama yang luar biasa dan istimewa antara Malaysia dan negara jiran Singapura, kata Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim.
(Gambar: Bernama)
"Terdapat elemen saling mempercayai untuk bekerjasama dalam program bersama yang akan memberi manfaat kepada antara satu sama lain.
"Zon Ekonomi Johor-Singapura ini, pada fikiran saya, adalah satu langkah yang luar biasa, kerana (ia) mesti berlandaskan kepada kepercayaan, dasar bersama. Dan ia sedang direalisasikan," kata beliau semasa sesi "Country Strategy Dialogue" di luar Sidang Puncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 pada Selasa (21 Jan).
PM Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian sebagai menjawab soalan yang ditanya oleh seorang peserta mengenai harapan beliau terhadap kerjasama JS-SEZ yang dimuktamadkan baru-baru ini.
Sesi tersebut dipemudahcarakan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz.
PM Anwar yakin JS-SEZ akan memacu ekonomi dari segi pelaburan yang akan memberi manfaat kepada Malaysia dan juga Singapura.
"Kami benar-benar bersemangat, dan begitu juga Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong ketika kami mengadakan perbincangan, dan saya fikir ia sepatutnya menjadi tumpuan yang sangat penting untuk Malaysia dan Singapura dan juga untuk rantau ini, untuk ASEAN dan melangkaui darinya," kata PM Anwar.
Awal bulan ini, Singapura-Malaysia memeterai perjanjian JS-SEZ semasa Rahat Pemimpin Malaysia-Singapura ke-11 untuk meningkatkan kerjasama ekonomi dan menarik pelaburan.
JS-SEZ adalah projek pembangunan mega yang merangkumi kawasan seperti Pembangunan Iskandar, Desaru, Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas, Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai, Skudai, dan Sedenak.
Zon ekonomi itu disasarkan antara lainnya untuk menarik 100 projek dalam tempoh 10 tahun.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.