Skip to main content

Dunia

Zon Ekonomi Khas Johor-SG dan rangkaian pengangkutan bersepadu boleh jadikan Johor 'hab serantau'

Anggaran Waktu Membaca:
Zon Ekonomi Khas Johor-SG dan rangkaian pengangkutan bersepadu boleh jadikan Johor 'hab serantau'

Kerja-kerja dijalankan bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)

JOHOR BAHRU: Pelajar peringkat diploma Malani Jairaman berasa terdesak ketika dia beratur selama 40 minit di stesen bas yang penuh sesak di tengah Johor Bahru.

Gadis berusia 22 tahun itu yang tinggal di pinggir bandar Skudai hanya mampu membayar RM5 sehari untuk pengangkutan. Perkhidmatan bas awam yang dipanggil myBas - dikendalikan oleh pengendali tempatan Syarikat Handal Indah - adalah satu-satunya cara dia berulang-alik ke sekolah.

Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu, dia menyedari perkhidmatan bas semakin teruk. Perjalanan sehala sejauh 19km yang dahulunya mengambil masa sejam kini mengambil masa hampir dua.

Bas-bas itu dijadualkan bergerak dari Johor Bahru Sentral pada frekuensi 40 hingga 45 minit tetapi terdapat kelengahan. Bas juga kerap terkandas pada waktu sibuk.
Pelajar Malani Jairaman. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
“Kami tiada pilihan lain. Jika ada alternatif seperti sistem LRT di Kuala Lumpur, kami akan mengambilnya,” kata Malani, sambil merujuk kepada rangkaian LRT yang menghubungkan ibu negara Malaysia dan kawasan-kawasan di sekitarnya.

Kesengsaraan pengangkutan Johor Selatan adalah lebih daripada kesulitan harian bagi para penduduk tempatan.

Sedang Zon Ekonomi Khas (SEZ) Johor-Singapura disarankan, ketersambungan dan kemudahan perjalanan di sekitar selatan Johor, seluruh negara, dan ke Singapura, boleh menentukan sama ada negeri itu berupaya mencapai potensi ekonominya.

Satu Memorandum Persefahaman (MOU) mengenai SEZ ditandatangani antara Menteri Perdagangan dan Perusahaan Singapura Gan Kim Yong dan Menteri Ekonomi Malaysia Mohd Rafizi Ramli pada 11 Jan 2024, dengan perjanjian penuh dijangka ditandatangani menjelang akhir tahun.

Pada 28 Feb, Jawatankuasa Pembangunan Negeri Johor bertemu dengan Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim di Putrajaya. Perdana Menteri Malaysia itu bersetuju dengan projek bernilai RM4.7 bilion untuk Johor, termasuk projek yang akan meningkatkan hubungan dengan SEZ.

Projek-projek tersebut termasuk akses yang lebih luas dan tujuan pengangkutan seperti menaik taraf pusat pemeriksaan imigresen dan pembangunan lebuh raya.

Kunci kepada kejayaan SEZ ialah rancangan kerajaan negeri untuk mengintegrasikan RTS Johor Bahru-Singapura, yang dijadual mula beroperasi menjelang akhir 2026, dengan sistem LRT Johor sendiri dan Projek Kereta Api Laju Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dicadangkan untuk dihidupkan semula.

Walaupun Laluan RTS menepati sasaran yang ditetapkan, kedua-dua LRT dan HSR masih dalam peringkat saranan. Saranan untuk menghidupkan semula HSR juga disokong oleh Yang di-Pertuan Agong Malaysia, Sultan Ibrahim Iskandar dari Johor.

Ramai pihak berkepentingan, termasuk para pelawat dan syarikat-syarikat perniagaan, menantikan bagaimana sistem pengangkutan yang lebih baik bukan sahaja akan membuka rangkaian pengangkutan di luar Johor tetapi juga meningkatkan pelaburan ke negeri itu, yang seterusnya akan memberi kesan positif kepada keseluruhan ekonomi Malaysia.

Bagaimanapun, para penganalisis memberi amaran bahawa kerajaan persekutuan Malaysia, yang merupakan badan penentu utama sama ada projek ini akan diteruskan, mesti mempertimbangkan daya maju kewangan dan sama ada ia harus mengutamakan Johor setelah mengambil kira isu trafik lain yang mendesak di bahagian lain negara itu.

Dalam temu bual bersama Mediacorp, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata ketiga-tiga rangkaian ini berpotensi menghubungkan bandar-bandar utama di selatan Johor "dalam jangka pendek" dan meningkatkan peluangnya untuk memenuhi potensinya sebagai destinasi pelaburan utama untuk Malaysia secara keseluruhannya.

“Buat masa ini, HSR sedang dalam pertimbangan kerajaan persekutuan untuk dihidupkan semula, sama juga bagi pelaksanaan LRT… ini dalam pertimbangan kerajaan negeri Johor sebelum dicadangkan kepada Kabinet,” kata Encik Mohamad Fazli.

“Insya-Allah kita akan mempunyai bas untuk menghubungkan ketiga-tiga kaedah pengangkutan ini,” tambahnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor Mohamad Fazli Mohamad Salleh. (Gambar: Zamzahuri Abas/CNA)
Menurut beliau, ketiga-tiga rangkaian itu akan membentuk sistem berbentuk T yang melalui koridor selatan Johor.

Encik Fazli menambah bahawa LRT akan merentasi perjalanan sejauh 30km dan mengangkut penumpang dari pusat bandar Johor Bahru ke kawasan-kawasan pinggir bandar melalui tiga laluan - laluan Iskandar Puteri, Skudai dan Tebrau. Anggaran kos projek yang dicadangkan ialah RM20 bilion.

Sementara itu, Projek HSR sepanjang 350km, yang akan menyingkatkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada 90 minit, mula disarankan pada 2013 dan disasarkan beroperasi menjelang 2026.

Tetapi HSR telah dihentikan selepas beberapa kali ia ditangguh atas permintaan Malaysia dan perjanjian itu luput pada Disember 2020. Malaysia membayar lebih S$102 juta sebagai pampasan kepada Singapura untuk projek yang ditamatkan itu.

Perbincangan mengenai usaha untuk menghidupkan semula projek itu semakin mendapat sokongan selepas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa berikutan Pilihan Raya Umum Malaysia pada 2022 dan melawat Singapura awal tahun lalu.

Pada 3 Ogos tahun lalus, Pemangku Menteri Pengangkutan ketika itu, Chee Hong Tat memberitahu Parlimen bahawa Singapura bersedia untuk membincangkan sebarang saranan baharu daripada Malaysia untuk Projek HSR KL-SG.

Dalam temu bual dengan Straits Times tahun lalu, Sultan Ibrahim berkata bahawa beliau mahu menghidupkan semula Projek HSR, dengan projek itu melalui Forest City di sempadan Malaysia.

Kerajaan persekutuan kini sedang mengkaji saranan daripada para pemain sektor swasta untuk melaksanakan projek tersebut.

Selain SEZ, Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut mengumumkan dalam lawatannya ke Johor pada Ogos 2023 bahawa Forest City akan ditetapkan sebagai Zon Kewangan Khas (SFZ) untuk memacu ekonomi di Iskandar Malaysia.
Gambar: Zamzahuri Abas/CNA
Beliau menegaskan bahawa zon itu akan menawarkan insentif perniagaan untuk menubuhkan operasi, seperti kadar cukai pendapatan sama rata sebanyak 15 peratus untuk pekerja asing mahir berbanding 30 peratus di tempat lain, visa berbilang kemasukan serta laluan pantas bagi mereka yang berpangkalan. di Singapura.
Sumber : CNA/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita