Skip to main content

Dunia

Zelenskyy, Trump akan bincang usaha tamatkan perang Ukraine di Florida

Anggaran Waktu Membaca:
Zelenskyy, Trump akan bincang usaha tamatkan perang Ukraine di Florida
Gambar Fail, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyambut Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, ketika beliau tiba untuk satu pertemuan di Rumah Putih di Washington, DC, pada 17 Oktober 2025. (Gambar: TOM BRENNER / AFP)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 27 Dec 2025 07:12AM Dikemas Kini : 27 Dec 2025 07:13AM
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy mengesahkan beliau akan bertemu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, di Florida pada Ahad (28 Dis) bagi membincangkan usaha menamatkan perang berskala penuh Rusia.

Encik Zelenskyy menjelaskan pertemuan itu akan tertumpu pada pelan damai 20 perkara yang diusahakan Washington, selain cadangan jaminan keselamatan daripada Amerika.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Rusia menyifatkan pelan tersebut sebagai “sangat berbeza” daripada rundingan yang sedang dijalankan dengan Washington.

Mosko sebelum ini menyatakan terdapat “kemajuan perlahan tetapi konsisten” dalam rundingan, namun tidak mengulas tawaran Encik Zelenskyy untuk menarik balik tentera dari Donbas sekiranya Rusia melakukan perkara sama, seperti dilapor Astro Awani.

Ukraine turut berusaha mendapatkan jaminan keselamatan daripada Amerika sebagai sebahagian daripada perjanjian, termasuk cadangan mewujudkan zon ekonomi bebas di kawasan Donbas yang gagal ditawan Rusia.

Dalam kenyataan kepada media pada Jumaat, Encik Zelenskyy berkata pelan damai itu kini 90 peratus siap.

“Tugas kami adalah memastikan semuanya 100 peratus lengkap,” katanya, seperti dinukil Astro Awani.

Beliau turut menulis di media sosial: “Kami tidak membuang masa. Pertemuan di peringkat tertinggi dengan Presiden Trump telah dipersetujui. Banyak perkara boleh diputuskan sebelum tahun baharu.”

Sementara itu, Kremlin mengesahkan pegawai tertinggi Rusia terus mengadakan perbincangan dengan Amerika melalui telefon, selepas utusan Kirill Dmitriev pulang dari Florida minggu lalu, seperti dinukil Astro Awani.

Timbalan Menteri Luar Rusia, Sergey Ryabkov menyifatkan perkembangan terkini sebagai positif, namun menuduh Ukraine cuba menggagalkan rundingan.

“Sama ada kita mampu membuat langkah terakhir bergantung kepada kerja dan kemahuan politik pihak lain,” katanya kepada televisyen Rusia.

Dalam masa sama, serangan udara Rusia dilaporkan mengorbankan dua orang dan mencederakan beberapa lagi di Kharkiv, selepas berita mengenai lawatan Encik Zelenskyy ke Florida tersebar.

Pertemuan hujung minggu ini dijangka membincangkan beberapa dokumen termasuk jaminan keselamatan Amerika dan perjanjian ekonomi.

Namun isu wilayah kekal menjadi cabaran utama, selain masa depan loji nuklear Zaporizhzhia yang kini dikuasai tentera Rusia.

Cadangan Amerika termasuk mewujudkan zon bebas tentera di timur Ukraine, di mana kedua-dua pihak bersetuju tidak menempatkan tentera – satu kompromi bagi mengelak pertikaian pemilikan wilayah.

Dalam perkembangan lain, pertempuran dan serangan udara terus berlaku dengan korban dilaporkan di Uman dan Kharkiv.

Tentera udara Ukraine memaklumkan, sebanyak 73 dron ditembak jatuh pada Jumaat, manakala Rusia mendakwa menangkis serangan dron dan peluru berpandu Ukraine.
Sumber : Agensi berita//fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita