Skip to main content

Dunia

Zelenskyy sedia bertemu Putin dalam rundingan dua hala untuk tamatkan perang

Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata pada Isnin (19 Ogos) bahawa beliau bersedia untuk bertemu muka dengan rakan sejawatannya dari Rusia bagi menamatkan perang.

Anggaran Waktu Membaca:
Zelenskyy sedia bertemu Putin dalam rundingan dua hala untuk tamatkan perang

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy, berjabat tangan semasa pertemuan di Pejabat Bundar, Rumah Putih, Washington, DC, Amerika Syarikat, pada 18 Ogos 2025. (Gambar: REUTERS/Kevin Lamarque)

Diterbitkan : 19 Aug 2025 01:31PM Dikemas Kini : 19 Aug 2025 02:54PM
WASHINGTON: Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata pada Isnin (19 Ogos) bahawa beliau bersedia untuk bertemu muka dengan rakan sejawatannya dari Rusia bagi menamatkan perang.

Bercakap kepada para wartawan selepas mengadakan perbincangan dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan beberapa pemimpin Eropah di Rumah Putih, Encik Zelenskyy berkata beliau bersedia untuk apa yang akan menjadi pertemuan pertamanya dengan Presiden Vladimir Putin sejak Mosko mencerobohi Kyiv hampir tiga setengah tahun lalu.

"Saya mahu mengesahkan - dan semua pemimpin Eropah menyokong saya - bahawa kami bersedia untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan Putin," kata Encik Zelenskyy selepas sidang puncak itu.

Encik Zelenskyy semakin tertekan untuk menyerahkan sejumlah wilayah kepada Rusia bagi menamatkan perang yang sengit itu.

Menjelang mesyuarat di Rumah Putih, Encik Trump telah menggesa Ukraine supaya melepaskan Crimea dan menggugurkan rancangannya untuk menyertai NATO - dengan kedua-dua tuntutan itu dibuat oleh Encik Putin.

Tetapi Encik Zelenskyy menegaskan bahawa beliau telah dapat membentangkan gambaran yang lebih jelas tentang garis medan perang kepada Encik Trump, yang ditemuinya di Rumah Putih.

"Ini adalah pertemuan terbaik kami," kata Encik Zelenskyy, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya. "Saya dapat menunjukkan banyak perkara, walaupun setakat pada peta, kepada semua rakan sekerja di Amerika mengenai situasi di medan perang."

Daripada konsesi dari Ukraine, sidang puncak itu turut memberi tumpuan kepada jaminan keselamatan Ukraine sekiranya perjanjian damai dicapai, kata Presiden Perancis Emmanuel Macron kepada para wartawan selepas sidang puncak itu.

Encik Trump berkata jaminan itu "akan disediakan oleh pelbagai negara Eropah (dalam) penyelarasan dengan Amerika Syarikat".

Encik Zelenskyy menambah bahawa "adalah penting untuk Amerika Syarikat memberikan isyarat yang jelas bahawa ia akan menjadi antara negara yang akan membantu Ukraine, di samping menyelaras dan juga menjadi peserta dalam jaminan keselamatan untuk Ukraine."

Encik Zelenskyy berkata rancangan itu akan "dirasmikan melalui beberapa cara pada minggu depan atau sepuluh hari akan datang".
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita