Skip to main content

Dunia

Zelenskyy kecam wakil Amerika tidak kunjungi Kyiv semasa lawatan ke Mosko

Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan tindakan wakil Amerika Syarikat yang mengadakan lawatan ke Mosko tetapi tidak ke Kyiv sebagai “tidak menghormati”, ketika usaha gencatan senjata untuk menamatkan perang dengan Rusia masih buntu.

Anggaran Waktu Membaca:
Zelenskyy kecam wakil Amerika tidak kunjungi Kyiv semasa lawatan ke Mosko
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy menunggu untuk menyambut Presiden Cyprus Nikos Christodoulides, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di Kyiv, Ukraine pada 4 Disember 2025. (Gambar: REUTERS/Valentyn Ogirenko)
 
Diterbitkan : 22 Apr 2026 07:53AM
KYIV: Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy menyifatkan tindakan wakil Amerika Syarikat yang mengadakan lawatan ke Mosko tetapi tidak ke Kyiv sebagai “tidak menghormati”, ketika usaha gencatan senjata untuk menamatkan perang dengan Rusia masih buntu.

Encik Zelenskyy merujuk kepada lawatan berulang utusan khas Amerika Syarikat, Steve Witkoff, dan menantu Presiden Amerika Syarikat, Jared Kushner, ke ibu negara Rusia bagi rundingan gencatan senjata sejak akhir tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-duanya tidak pernah melawat Kyiv dalam kapasiti rasmi.

Menurut Encik Zelenskyy, adalah tidak wajar wakil Amerika datang ke Mosko tetapi tidak membuat lawatan ke Kyiv.

Beliau menambah, jika faktor logistik menjadi halangan, pertemuan boleh diadakan di negara lain.

Encik Zelenskyy berkata rancangan lawatan Encik Witkoff dan Encik Kushner ke Ukraine pada awal April tidak menjadi kenyataan susulan tumpuan Washington beralih kepada konflik di Timur Tengah, termasuk perang antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran.

Mesyuarat tiga pihak terakhir antara Rusia, Amerika Syarikat dan Ukraine berlangsung pada pertengahan Februari.

Tidak lama selepas itu, perhatian diplomatik Amerika beralih, menyebabkan rundingan Ukraine semakin perlahan.

Walaupun mengakui tumpuan Amerika kini tertumpu di Timur Tengah, Encik Zelenskyy menegaskan kepentingan kerjasama berterusan dengan Washington.

“Bagi kami, penting untuk terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat,” katanya.

Rundingan gencatan senjata, yang dipercepat pada akhir 2025, masih menemui jalan buntu, khususnya berhubung status wilayah Donbas di timur Ukraine.

Kyiv menolak tuntutan Mosko ke atas wilayah berdaulatnya, manakala isu lain termasuk pemulangan kanak-kanak Ukraine yang didakwa dihantar secara paksa ke Rusia turut kekal tidak diselesaikan.

Perang yang bermula dengan pencerobohan penuh Rusia pada 2022 berlarutan lebih empat tahun, dengan pertempuran berterusan di sepanjang barisan hadapan dan serangan udara Rusia yang kerap ke atas bandar-bandar Ukraine, sementara Kyiv meningkatkan serangan dron jarak jauh ke atas infrastruktur tenaga Rusia.
Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita