Zelenskyy gesa Putin hadir ke Turki untuk berunding, susulan desakan Trump
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata beliau bersedia untuk bertemu Encik Vladimir Putin di Turki pada Khamis (15 Mei), selepas Presiden Amerika Syarikat Donald Trump secara terbuka menggesanya untuk menerima segera cadangan Presiden Rusia itu untuk mengadakan rundingan secara langsung.

Presiden Rusia Vladimir Putin memberi kenyataan kepada media di Mosko, Rusia pada 11 Mei 2025. (Gambar: Agensi penganjur RIA Novosti/Diedarkan melalui REUTERS/Sergey Bobylev)
Cadangan pertemuan dengan Encik Putin oleh Encik Zelenskyy mengakhiri tempoh 48 jam yang dramatik, di mana para pemimpin Eropah menyertai Encik Zelenskyy dalam menuntut gencatan senjata selama 30 hari bermula Isnin. Namun, Encik Putin mengemukakan cadangan balas untuk mengadakan rundingan secara langsung, yang pertama antara Ukraine dan Rusia, sejak awal pencerobohan pada 2022.
Namun begitu, masih belum jelas sama ada Encik Putin benar-benar berhasrat untuk hadir secara peribadi. Encik Putin dan Encik Zelenskyy tidak bertemu sejak Disember 2019 dan masing-masing tidak menyembunyikan rasa benci terhadap satu sama lain.
“Saya akan menunggu Putin di Turki pada Khamis. Secara peribadi,” tulis Encik Zelenskyy di X. “Saya harap kali ini pihak Rusia tidak akan mencari alasan.”
Di Telegram, ketua kakitangannya, Andriy Yermak, menambah: “Bagaimana dengan Putin? Adakah beliau takut? Kita lihat nanti.”
Sebelum itu, Encik Zelenskyy memberi respons secara berhati-hati pada Ahad terhadap kenyataan Presiden Rusia yang disiarkan lewat malam menerusi televisyen, bertepatan dengan waktu perdana di Amerika Syarikat, di mana beliau mencadangkan rundingan langsung di Istanbul pada Khamis, 15 Mei.
Cadangan Putin itu dibuat beberapa jam selepas kuasa besar Eropah pada Sabtu, ketika berada di Kyiv, mendesaknya agar bersetuju dengan gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari atau berdepan sekatan baharu secara "besar-besaran", satu pendirian yang turut disokong utusan Presiden Trump bagi Ukraine, Keith Kellogg.
TRUMP DESAK AGAR RUNDINGAN DIMULAKAN
Encik Zelenskyy sebelum ini turut mengatakan bahawa Ukraine bersedia untuk mengadakan rundingan, sekiranya Mosko bersetuju dengan gencatan senjata selama 30 hari.
Namun, Encik Trump, yang memiliki kuasa untuk meneruskan atau menghentikan bantuan senjata penting daripada Washington kepada Ukraine, mengambil pendirian yang berbeza.
“Presiden Putin dari Rusia tidak mahu perjanjian gencatan senjata dengan Ukraine, sebaliknya mahu bertemu pada Khamis, di Turki, untuk merundingkan kemungkinan menamatkan pertumpahan darah. Ukraine harus bersetuju dengan ini, SEKARANG JUGA,” tulis Encik Trump di platform Truth Social.
“Sekurang-kurangnya mereka dapat menentukan sama ada perjanjian itu boleh dicapai atau tidak, dan jika tidak, para pemimpin Eropah dan Amerika Syarikat akan tahu di mana kedudukan semua pihak, dan boleh bertindak sewajarnya!”
Rusia dan Ukraine masing-masing cuba untuk menarik perhatian Encik Trump.
Kyiv amat memerlukan sokongan ketenteraan Amerika Syarikat yang diberikan semasa pentadbiran mantan Presiden Joe Biden, manakala Mosko melihat peluang untuk mendapatkan kelegaan daripada tekanan sekatan ekonomi dan menjalin hubungan dengan ekonomi terbesar dunia.
Putin mengerahkan angkatan tentera Rusia ke Ukraine pada Februari 2022, mencetuskan konflik yang meragut ratusan ribu nyawa tentera dan mencetuskan konfrontasi paling serius antara Rusia dan Barat sejak Krisis Peluru Berpandu Cuba pada 1962.
Walaupun tentera Rusia terus mara, Presiden Putin setakat ini tidak menawarkan sebarang konsesi yang bermakna.
Dalam ucapannya pada waktu malam, beliau mencadangkan apa yang disifatkan sebagai “rundingan langsung tanpa sebarang prasyarat”.
Namun, hampir serta-merta, pembantu kanan Kremlin, Yuri Ushakov, memberitahu wartawan bahawa rundingan mesti mengambil kira kedua-dua draf rangka kerja perdamaian yang ditinggalkan pada 2022 serta situasi semasa di lapangan.
Kata-kata tersebut secara tersirat membawa maksud bahawa Kyiv perlu bersetuju untuk kekal berkecuali sebagai pertukaran kepada jaminan keselamatan, dan menerima hakikat bahawa Rusia menguasai sebahagian wilayah Ukraine.
Ukraine menegaskan bahawa tindakan untuk bersetuju terhadap syarat draf 2022 adalah bersamaan dengan menyerah kalah.
PUTIN TOLAK 'KATA PUTUS'
Presiden Putin menolak apa yang disifatkannya sebagai percubaan untuk mengemukakan “kata putus” menerusi tuntutan gencatan senjata oleh negara-negara Eropah Barat dan Ukraine, yang dijadual bermula pada Isnin. Kementerian Luar Rusia menyatakan bahawa perbincangan mengenai punca utama konflik mesti didahulukan sebelum sebarang rundingan mengenai gencatan senjata boleh dijalankan.
Encik Trump, yang mahu dikenang sebagai pendamai dan berulang kali berjanji untuk menamatkan peperangan, memberi respons kepada ucapan Encik Putin dengan mengatakan bahawa perkara tersebut mungkin membawa kepada “hari yang berpotensi hebat bagi Rusia dan Ukraine!”
Meskipun Rusia tidak menyatakan komitmen mereka, Encik Zelenskyy berkata bahawa rancangan gencatan senjata Ukraine pada Isnin tetap akan diteruskan.
“Kami menantikan satu gencatan senjata penuh dan berkekalan bermula esok, sebagai asas yang diperlukan untuk usaha diplomasi,” tulisnya di X.
Dalam ucapan malamnya, Encik Zelenskyy berkata beliau masih menunggu maklum balas daripada pihak Rusia, dan menegaskan bahawa tentera Ukraine akan bertindak balas sekiranya pasukan Rusia tidak mematuhi gencatan senjata.
Kedutaan Amerika Syarikat di Kyiv pada Jumaat mengeluarkan amaran mengenai "kemungkinan" berlakunya serangan udara "besar-besaran" oleh Rusia dalam beberapa hari akan datang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.