Zelenskyy dakwa Korea Utara mungkin kerah lebih ramai askar ke Rusia
Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy berkata pada Isnin (23 Dis) bahawa lebih 3,000 askar Korea Utara terbunuh dan cedera di wilayah Kursk di Rusia.
(Gambar: AP)
Beliau turut memberi amaran bahawa Pyongyang mungkin akan mengerahkan lebih ramai askar dan peralatan bagi menyokong tentera Rusia.
"Terdapat risiko di mana Korea Utara akan menghantar lebih ramai askar dan peralatan tentera kepada tentera Rusia," kata Encik Zelenskyy dalam catatan di wadah X selepas menerima laporan daripada komander tentera, Oleksandr Syrskyi.
"Kami mempunyai respons yang sewajarnya terhadap perkara itu," katanya.
Jumlah askar Korea Utara yang terkorban dianggarkan lebih tinggi berbanding perangkaan yang didedahkan oleh Ketua Turus Bersama Tentera Korea Selatan.
Pada Isnin (23 Dis), Korea Selatan menyatakan sekurang-kurangnya 1,100 askar Korea Utara terbunuh atau cedera dalam perang Ukraine.
Encik Zelenskyy mendakwa bahawa beliau menukil data awal yang Reuters bagaimanapun tidak dapat mengesahkan laporan mengenai korban jiwa dalam pertempuran itu.
Rusia pula tidak mengesahkan atau menafikan kehadiran tentera Korea Utara di medan pertempuran.
Pyongyang pada awalnya menyangkal laporan mengenai pengerahan tentera Korea Utara sebagai "berita palsu", namun seorang pegawai Korea Utara kemudian menegaskan bahawa pengerahan sedemikian adalah sah di sisi undang-undang.
Menurut penilaian Ukraine dan sekutu-sekutunya, Korea Utara telah mengerahkan sekitar 12,000 askar ke Rusia.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.