Skip to main content

Dunia

"Zaman Mahathir sudah berlalu, biar Anwar pimpin negara", ujar Nazri Aziz

Anggaran Waktu Membaca:
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim dinasihatkan supaya menumpukan perhatian kepada usaha memulihkan ekonomi negara dan tidak mengendahkan pandangan Dr Mahathir Mohamad.

Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan, apa yang diperkatakan oleh Dr Mahathir terhadap Encik Anwar tidak penting buat masa ini kerana Perdana Menteri Malaysia itu mempunyai tugas besar memimpin dan memulihkan ekonomi negara, seperti dinukil Astro AWANI.

Beliau juga menyifatkan Dr Mahathir sudah hilang sokongan akibat kekalahan teruk bersama parti pimpinannya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
"Masa beliau sudah berlalu. Cukup-cukup lah, beri peluang kepada Anwar untuk memimpin dan memulihkan ekonomi negara.

"Apa lagi beliau (Mahathir) mahu? Sudah kalah teruk dan hilang deposit di Langkawi baru-baru ini. Semua calon parti dia kalah dan hilang deposit, sudahlah, cukup. Bantu pemimpin muda pulihkan ekonomi negara.

"Saya sendiri sudah tidak percaya dan tidak yakin lagi dengan Dr Mahathir, semua orang beliau anggap tidak betul, hanya dia sahaja yang tahu mentadbir dan memerintah.

"Anwar baru sebulan lebih jadi Perdana Menteri, jangan cepat sangat nak buat penilaian, bagi lah sedikit masa untuk beliau buktikan," katanya kepada Astro AWANI.

Encik Mohamed Nazri juga menyanggah dakwaan Dr Mahathir bahawa ketika diberi peluang menjadi pemangku perdana menteri lebih 24 tahun yang lalu, Encik Anwar tidak dapat menangani masalah.

Beliau menjelaskan, biarpun bercuti ketika itu, namun Encik Anwar tidak diberikan kuasa, sebaliknya Dr Mahathir masih mengawal pentadbiran.

"Saya timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu dan bercakap dengan Anwar, beliau tidak mempunyai kuasa biarpun ditugaskan sebagai pemangku perdana menteri.

"Benar Dr Mahathir bercuti di luar negara, tetapi beliau tetap mengawal pentadbiran negara dan bukannya memberi kuasa kepada orang lain.

"Semua orang tahu dan anggap Dr Mahathir sebagai diktator, beliau tidak akan beri kuasa kepada orang lain, cakap 'beri kuasa' itu semua menipu.

"Jadi macam mana Anwar mahu selesaikan masalah kalau tidak diberi kuasa, masih dikawal pihak lain?" katanya lagi.

Dalam temu bual eksklusif dengan Berita Harian, Dr Mahathir menyuarakan kebimbangannya mengenai kemampuan Encik Anwar menangani krisis kemelesetan ekonomi dan cabaran pemulihan pasca pandemik.

Kata Dr Mahathir, ini berdasarkan pandangannya terhadap prestasi Encik Anwar sebagai Menteri Kewangan Malaysia lebih 20 tahun lalu.
Sumber : Agensi berita/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita