Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zaid Ibrahim bebas tuduhan hina PM Najib tanpa dipanggil bela diri

Hakim Zaman dalam penghakimannya berkata terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan selain percanggahan kenyataan antara saksi-saksi pendakwaan.

Anggaran Waktu Membaca:
Zaid Ibrahim bebas tuduhan hina PM Najib tanpa dipanggil bela diri

Datuk Zaid Ibraim. (Gambar: Laman blog www.zaid.my)

Diterbitkan : 11 Jan 2018 06:09PM Dikemas Kini : 11 Jan 2018 06:11PM

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepaskan dan membebaskan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim daripada pertuduhan membuat kenyataan bersifat jelik terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kenyataan tersebut disiarkan di dalam blognya, tiga tahun lalu.

Hakim Zaman Mohd Noor membuat keputusan itu terhadap Datuk Zaid, 67 tahun, selaku Orang Kena Saman (OKS) tanpa memanggilnya membela diri terhadap pertuduhan itu. Ini setelah beliau mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Hakim Zaman dalam penghakimannya berkata terdapat kelompongan dalam kes pendakwaan selain percanggahan kenyataan antara saksi-saksi pendakwaan.

"Mangsa dalam kes ini juga tidak dipanggil untuk memberi keterangan bagi mengetahui sama ada beliau terkesan dengan kenyataan yang dikeluarkan Zaid.  Oleh yang demikian, OKS dilepaskan dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri," kata hakim.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Laden, kemudiannya memberitahu media bahawa pihak pendakwaan akan merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi.

Pada 4 Dis 2015,  Datuk Zaid yang juga anggota DAP dihadapkan ke Mahkamah Sesyen atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi internet dan secara sedar membuat serta memulakan pernyataan yang bersifat jelik di laman http://www.zaid.my bertajuk 'Rally Behind Tun Dr Mahathir Mohamad' dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.

Beliau yang diwakili peguam M. Puravalen didakwa melakukan kesalahan tersebut di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman di sini pada 3.2 petang, 3 Sep 2015.

Pendakwaan dibuat mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 (S$16,700) atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya.

Pada 2 Sep 2015, Zaid memberi ucapan di Kelab Diraja Selangor, di sini dan kemudian memuat naik ucapan itu di dalam blog beliau pada keesokannya. 

Ucapan itu juga dibacakan di dalam mahkamah semasa dia didakwa pada 4 Dis 2015. Seramai 10 saksi pendakwaan dipanggil untuk memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Sumber : Bernama/DIWAI/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan