"Zahid tiada hak, biro politik pun tiada hak putuskan kerjasama BN dengan PH", kata Ismail Sabri Yaakob
Hanya Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) boleh membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan campuran antara BN dan Pakatan Harapan (PH).

Gambar fail Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob. (Gambar: Vincent Tan/CNA)
KUALA LUMPUR: Hanya Majlis Tertinggi (MT) Barisan Nasional (BN) boleh membuat keputusan berhubung pembentukan kerajaan campuran antara BN dan Pakatan Harapan (PH).
Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri Yaakob, berkata Presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi dan biro politik tidak mempunyai hak untuk memutuskan mengenai perkara itu, lapor BH Online.
"Presiden tiada hak, biro politik pun tiada hak.
"Hanya MT BN saja boleh membuat keputusan," katanya kepada media, di sini, pada Isnin (21 Nov), seperti dinukil laporan BH Online.
Beliau bersama beberapa kepimpinan BN dilihat sudah tiba di Hotel Seri Pacific, di sini, dipercayai bagi mengadakan pertemuan dengan wakil Pakatan Harapan (PH) bagi membincangkan mengenai pembentukan kerajaan campuran.
Sehingga kini, Encik Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN, sudah tiba di Hotel Seri Pacific bagi tujuan itu.
Pengerusi PH, Anwar Ibrahim juga dilihat sudah tiba.
Ketika ditanya mengenai jemputan pertemuan itu, Encik Ismail Sabri berkata, beliau dijemput Setiausaha UMNO Pahang.
"Semua Ahli Parlimen Pahang, dijemput," katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.