Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zahid Hamidi gesa ahli UMNO 'move on' dari kekalahan PRU15

Anggaran Waktu Membaca:
Zahid Hamidi gesa ahli UMNO 'move on' dari kekalahan PRU15

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 13 Januari 2023. (Gambar: BERNAMA)

KUALA LUMPUR: Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi menggesa para anggota parti itu agar tidak lagi mengungkit isu-isu berkaitan Pilihan Raya Umum Malaysia ke-15 (PRU15).

Gesaan itu dibuat semasa beliau menyampaikan ucapan di Perhimpunan Agung UMNO pada Jumaat (13 Jan).

Dalam ucapan hampir dua jam itu, Encik Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri Malaysia menarik perhatian tentang peri pentingnya para anggota parti meneruskan perjuangan pasca PRU15.

Beliau menekankan bahawa keputusan PRU15 pada November lalu adalah satu tanggungjawab bersama yang tidak harus dipikul beliau seorang diri saja.

Beliau berkata: "Semua daripada kita bertanggungjawab atas jatuh bangunnya UMNO. Jika mahu dicari punca, kitalah puncanya. Jika mahu disalahkan, kitalah yang bersalah. Jika mahu dibangunkan semula, kitalah yang mesti menerajuinya."

YANG MANA 'ORI' YANG MANA 'FAKE': AHMAD ZAHID

Dalam PRU15, Barisan Nasional yang diterajui UMNO hanya memenangi 30 daripada 120 kerusi yang dipertandingkan.

Akibatnya Encik Ahmad Zahid berdepan dengan gesaan lantang supaya beliau meletak jawatan sebagai Presiden UMNO.

Perhimpunan Agung UMNO itu diperhatikan ramai pihak selepas terdapat desas-desus tentang kemungkinan dua jawatan utama parti itu tidak akan dipertandingkan.

Namun, Encik Ahmad Zahid sekali lagi menegaskan bahawa beliau sedia berdepan dengan sesiapa saja dalam pemilihan tersebut yang perlu diadakan menjelang Mei nanti.

"Sebagai seorang yang yakin kepada proses demokrasi, saya menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukannya. 

"Namun, saya yakin para perwakilan dan ahli-ahli UMNO di akar umbi boleh menilai yang mana kaca yang mana permata, yang mana pepak di luar rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana ori yang mana 'fake'," ujar beliau.

KJ ANTARA BERI BAYANGAN AKAN BERTANDING; CABARAN LAIN AHMAD ZAHID

Antara mereka yang sudah membayangkan akan memberikan tentangan bagi jawatan nombor satu UMNO itu ialah mantan Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sedemikian semasa satu forum ehwal serantau ISEAS-Institut Yusof Ishak di Singapura pada 10 Januari.

Menjawab kepada satu soalan yang diajukan, Encik Khairy berkata: "Saya mahu memastikan di perhimpunan minggu ini tidak akan ada pindaan yang mencegah dua kedudukan utama parti saya daripada dipertandingkan. 

"Sebelum ini, ia pernah berlaku dan ia amat tidak demokratik dan pemilihan ini semua amat penting bagi masa depan parti saya. Akankah saya bertanding bagi jawatan Presiden parti saya? Saya sedang memikirkannya."

Sebelum ini juga, terdapat 10 Ahli Parlimen UMNO yang membuat akuan sumpah untuk menyokong Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin pasca PRU15.

Encik Ahmad Zahid berkongsi kepada pihak media bahawa beliau sudah memaafkan mereka di tengah-tengah gesaan dalam UMNO untuk memecat 10 orang itu yang digelar sebagai pengkhianat.

Encik Ahmad Zahid juga mengambil kesempatan untuk menjelaskan mengapa UMNO menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan bukan PN.

Menurutnya, bukan saja UMNO diberikan portfolio-portfolio penting di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tetapi PH juga memenangi lebih banyak kerusi iaitu satu cerminan terhadap suara rakyat.

Lantaran itu, Encik Ahmad Zahid menggesa para anggota UMNO agar berhenti bercakaran dan menumpukan perhatian kepada usaha membantu rakyat mengatasi kos sara hidup yang meningkat serta memulihkan ekonomi Malaysia.

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan