Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Zahid Hamidi bertegas tuduhan rasuah terhadap pemimpin BN bermotifkan politik

Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi pada Isnin (29 Ogos) bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Anggaran Waktu Membaca:
Zahid Hamidi bertegas tuduhan rasuah terhadap pemimpin BN bermotifkan politik

Bekas timbalan perdana menteri Malaysia Ahmad Zahid Hamidi tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Jan 2022. (Gambar fail: Vincent Thian/AP)

UALA LUMPUR: Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegaskan di Mahkamah Tinggi pada Isnin (29 Ogos) bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melakukan pendakwaan terpilih yang bermotifkan politik terhadapnya dan lebih 20 pemimpin Barisan Nasional (BN) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dr Ahmad Zahid, 69 tahun, berkata apabila BN gagal membentuk kerajaan pada 2018, beliau dan pemimpin lain termasuk Najib Tun Razak, Ahmad Maslan dan Tengku Adnan Tengku Mansor sudahpun diheret ke mahkamah atas kesalahan jenayah.

“Yang Arif, saya sedari bahawa pada 9 Mei 2018, apabila kerajaan di bawah BN telah gagal memperoleh kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan, maka gabungan parti lain ambil alih dan dalam bulan Jun (2018) laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dibuat kepada saya,” katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu berkata demikian ketika pemeriksaan semula oleh peguamnya, Ahmad Zaidi Zainal, ketika membela diri atas 47 pertuduhan yang melibatkan 12 kes pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit milik dana Yayasan Akalbudi (YAB).

Menurut Dr Ahmad Zahid, apabila gabungan baru PH mengambil alih, pertuduhan terhadap 15 individu di mahkamah sudhapun ditarik balik. Antaranya ialah Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Sungai Buloh R. Sivarasa, Naib Presiden PKR ketika itu, Rafizi Ramli, dan beberapa individu lain.

“Kalau ini bukan pertuduhan bermotifkan politik, saya tidak tahu apakah lagi istilah lain yang digunakan? Yang dituduh ditarik balik (kes) oleh peguam negara ketika itu, manakala individu dari parti yang kalah diheret ke mahkamah untuk dituduh.

“Apa yang mahu saya sebut di sini ialah keyakinan kami kepada mahkamah yang adil serta sistem perundangan yang betul,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.

Dr Ahmad Zahid berkata kertas laporan dalam siasatan sepatutnya mengutamakan untuk menyiasat isu yang merosakkan sistem keadilan dan penguatkuasaan, bukannya dijadikan sebagai satu langkah untuk membalas dendam oleh pemimpin yang mengambil alih kerajaan.

Berhubung soalan Dr Ahmad Zaidi sama ada beliau diugut secara halus atau kasar, contohnya oleh perdana menteri dan timbalan perdana menteri berhubung kes YAB, beliau berkata:

“Tidak spesifik diugut perkara yang berhubung kait dengan YAB tetapi ugutan pada jawatan yang saya pegang dalam parti apabila saya jalankan tugas sebagai Presiden UMNO”.

“Seorang yang telah jadi perdana menteri ketika itu iaitu Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) menyatakan beliau mahu jumpa saya dan ugutan yang dibuat jika saya tidak keluar parti dan membubarkan UMNO, sesuatu akan dilakukan kepada saya, tentulah pertuduhan yang dibuat kepada saya ekoran daripada ugutan itu,” katanya.

Tambah beliau lagi, Dr Mahathir mengakui di dalam beberapa media bahawa beliau memintanya (Dr Ahmad Zahid) keluar parti serta membubarkan UMNO dan pengakuan tersebut merupakan bukti yang kukuh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung pukul 2.00 petang tadi.
 
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan