Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

YouTube padam sejuta video 'berbahaya' tentang COVID-19

YouTube pada Rabu (25 Ogos) menyatakan bahawa ia sudah memadamkan lebih sejuta video yang mengandungi "maklumat salah yang berbahaya tentang koronavirus" sejak pandemik COVID-19 mula melanda dunia.

Anggaran Waktu Membaca:
YouTube padam sejuta video 'berbahaya' tentang COVID-19

Gambar: REUTERS

Diterbitkan : 26 Aug 2021 10:59AM Dikemas Kini : 26 Aug 2021 11:00AM

WASHINGTON: YouTube pada Rabu (25 Ogos) menyatakan bahawa ia sudah memadamkan lebih sejuta video yang mengandungi "maklumat salah yang berbahaya tentang koronavirus" sejak pandemik COVID-19 mula melanda dunia.

Kenyataan itu dibuat oleh syarikat wadah video milik Google setelah wadah-wadah media sosial dikritik oleh para pemimpin politik kerana gagal membendung penyebaran berita palsu yang berbahaya dan maklumat salah tentang virus itu serta mengenai topik-topik lain.

YouTube menyatakan dalam catatan blog bahawa ia bergantung kepada "konsensus pakar daripada pertubuhan kesihatan," termasuk Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), namun menarik perhatian bahawa bagi segelintir kes, "maklumat palsu yang dikongsi adalah kurang jelas" disebabkan oleh kemunculan fakta-fakta baru.

"Dasar kami tertumpu kepada pemadaman sebarang video yang boleh menimbulkan bahaya secara langsung," kata ketua pegawai produk Neal Mohan.

"Sejak Februari 2020, kami sudah memadamkan lebih sejuta video berkaitan maklumat palsu tentang koronavirus, seperti penawar palsu atau dakwaan yang mengelirukan," katanya.

"Di tengah-tengah pandemik global, semua orang harus melengkapi diri mereka dengan maklumat yang terbaik untuk melindungi diri dan keluarga mereka."

YouTube menyatakan ia juga sedang berusaha untuk mempercepatkan proses memadamkan video yang mengandungi maklumat palsu di samping mengongsi video daripada sumber-sumber yang sahih.

Encik Mohan berkata wadah tersebut sudah memadamkan hampir 10 juta video pada setiap suku dan sebahagian besar daripadanya ditonton kurang daripada 10 kali.

"Pemadaman video lebih cepat adalah penting namun kami tahu bahawa ia tidak mencukupi... Yang penting sekali adalah untuk meningkatkan jumlah video yang baik dan kurangkan jumlah video yang buruk," katanya.

"Apabila para individu melakukan pencarian berita atau maklumat, mereka menerima keputusan yang dioptimumkan berdasarkan mutu dan bukan kerana betapa sensasi kandungan itu."

Sumber : AFP/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan