Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

YouTube gantung Sky News Australia, sebar maklumat salah COVID-19

YouTube menyatakan pada Ahad (1 Ogos) pihaknya menggantung Sky News Australia daripada memuat naik kandungan baru selama seminggu, atas kebimbangan menyebarkan maklumat salah berkenaan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
YouTube gantung Sky News Australia, sebar maklumat salah COVID-19

Gambar fail logo YouTube dipetik pada Oktober 2015. (Gambar: REUTERS/Lucy Nicholson)

Diterbitkan : 01 Aug 2021 06:40PM Dikemas Kini : 01 Aug 2021 06:44PM

SYDNEY: YouTube menyatakan pada Ahad (1 Ogos) pihaknya menggantung Sky News Australia daripada memuat naik kandungan baru selama seminggu, atas kebimbangan menyebarkan maklumat salah berkenaan COVID-19.

Langkah itu diambil selepas meneliti kandungan yang dimuat naik oleh saluran TV milik Rupert Murdoch itu, yang mempunyai kehadiran online yang besar.

"Kami mempunyai dasar yang jelas mengenai maklumat salah COVID-19 ... untuk mencegah penyebaran maklumat salah COVID-19 yang boleh menyebabkan kesan buruk di dunia nyata," menurut satu kenyataan YouTube.

Dengan 1.86 juta pengikut di YouTube, saluran itu - yang dimiliki anak syarikat Murdoch's News Corp - mempunyai pengikut konservatif jauh menjangkaui Australia.

Kandungan yang dimuat naik, termasuk beberapa yang mempersoal kewujudan pandemik dan keberkesanan vaksin, dikongsi dengan banyaknya di forum media sosial di merata dunia yang menyebarkan maklumat tidak benar mengenai virus dan vaksin.

Kandungan terakhir yang dimuat naik di YouTube tiga hari yang lalu, menampilkan seorang pengacara yang mendakwa bahawa perintah berkurung gagal dan mengkritik pihak berkuasa Australia kerana melanjutkan arahan duduk di rumah di Sydney.

"Sky News Australia akur hak YouTube untuk menguatkuasakan dasarnya dan berharap ia dapat terus menerbitkan kandungan berita dan analisis yang popular kepada pelanggannya tidak lama lagi," kata Sky News dalam satu kenyataan di lamannya mengenai penggantungan selama seminggu itu.

Seorang jurucakap pengendali media itu berkata "kami menyokong perbincangan dan perbahasan meluas mengenai perbagai topik dan sudut pandangan yang sangat penting dalam mana-mana demokrasi".

"Kami memandang serius komitmen untuk memenuhi jangkaan editorial dan masyarakat."

YouTube menetapkan dasar "tiga peluang" bagi sebarang pelanggaran. Kesalahan pertama akan dikenakan penggantungan dua minggu, kesalahan kedua dalam tempoh 90 hari sejak yang pertama akan dikenakan penggantungan selama dua minggu. Kesalahan ketiga akan membawa kepada larangan kekal daripada wadah tersebut.

Mantan presiden Amerika Syarikat Donald Trump pernah digantung sementara di bawah dasar itu.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan