Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Yoon berdepan percubaan kedua untuk diberkas

Anggaran Waktu Membaca:
Yoon berdepan percubaan kedua untuk diberkas

Gambar: AP

Diterbitkan : 08 Jan 2025 11:16AM Dikemas Kini : 08 Jan 2025 11:17AM
SEOUL: Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol berdepan dengan satu percubaan baharu untuk memberkasnya, yang berkemungkinan dilaksanakan dengan lebih tegas, atas dakwaan melakukan pemberontakan.

Ini selepas seorang penyiasat tertinggi berikrar untuk melakukan apa saja untuk melanggar sekatan keselamatan demi menahan pemimpin yang didakwa itu.

Para penunjuk perasaan, baik yang menyokong mahupun menentang Encik Yoon, terus mengharungi cuaca sejuk untuk mengadakan perhimpunan di jalan raya di sekitar pekarangan kediaman Presiden itu pada Rabu. Ini setelah mahkamah mengeluarkan semula waran untuk memberkas Encik Yoon, pada hari sebelumnya.
Pada minggu ini, Perkhidmatan Keselamatan Presiden (PSS) dilihat mengetatkan keselamatan di pekarangan berkenaan dengan pemasangan dawai duri dan penghadang menggunakan bas untuk menyekat akses ke vila di lereng bukit, di mana Encik Yoon dipercayai sedang berada sekarang ini, setelah menentang arahan untuk hadir bagi disoal siasat.

Encik Yoon sedang menghadapi siasatan jenayah atas dakwaan melakukan pemberontakan menyusuli tindakannya menguatkuasakan undang-undang tentera pada 3 Dis lalu, yang sekali gus mengejutkan negara itu. Perbuatannya itu mengakibatkan beliau menjadi Presiden pertama yang sedang berkhidmat untuk mendapatkan waran tangkap.

Beliau juga terlibat dalam satu perbicaraan berasingan di Mahkamah Perlembagaan atas dakwaannya pada 14 Dis lalu kerana melanggar tugas perlembagaannya dengan pengisytiharaan undang-undang tentera itu.

Ketua Pejabat Siasatan Rasuah bagi Pegawai Tinggi (CIO), Oh Dong-woon, yang mengetuai siasatan ke atas Encik Yoon pada Selasa lalu, memohon maaf atas kegagalan dalam percubaan untuk menangkap Jumaat lalu selepas berlakunya ketegangan selama enam jam di dalam pekarangan presiden.

Encik Oh membatalkan percubaan penangkapan itu selepas disekat daripada memasuki pekarangan Presiden berkenaan oleh ratusan anggota PSS dan pengawal tentera.

"Kami akan melakukan yang terbaik untuk mencapai matlamat kami dengan membuat persediaan menyeluruh kali ini dengan keazaman yang tinggi bahawa pelaksanaan waran kedua akan menjadi yang terakhir," tekan Encik Oh kepada jawatankuasa parlimen. Masih tidak jelas berapa lama waran tangkap baharu itu akan bertahan.

Encik Oh tidak membantah apabila anggota parlimen menggesa tindakan tegas untuk mengalahkan pengawal presiden dan tentera di dalam pekarangan itu, tetapi beliau enggan mengesahkan pilihan yang sedang dipertimbangkan.
Sumber : Reuters/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan