Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tahu tarikh Parlimen akan dibubar

Anggaran Waktu Membaca:
Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak tahu tarikh Parlimen akan dibubar

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun menyifatkan perkara itu tidak adil kepada Ahli Parlimen lain. (Gambar: Sumber web)

KUALA LUMPUR : Yang Dipertua Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun menegaskan, beliau tidak terlibat mahupun tahu mengenai tarikh pembubaran Parlimen.

Pada masa yang sama, jelasnya, beliau langsung tidak terbabit dalam perbincangan mengenai tarikh penting itu.

"Saya tidak terlibat, jadi saya tidak tahu-menahu dan saya tidak akan dirunding pun. Saya tidak dengar apa lagi. Ia tidak ada notis sebab pembubaran Parlimen adalah di bawah kuasa Perdana Menteri yang akan menasihati Agong," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik Astro AWANI.

"Sekiranya dinasihati berbuat demikian, Agong mempunyai budi bicara untuk menolak nasihat tersebut. Itu undang-undangnya dalam Perlembagaan Persekutuan," tambahnya kepada pihak media selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakan Media di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.

Malah beliau juga tidak boleh mengulas mengenai polemik yang timbul iaitu sama ada kuasa pembubaran itu terletak di bawah bidang kuasa Perdana Menteri atau Kabinet.

"Sekarang saya baca di berita, terdapat polemik sama ada kuasa itu kuasa Perdana Menteri sahaja, atau ia mesti mempunyai keputusan Kabinet. Itu sedikit polemik, saya pun tidak ada jawapan kepada polemik tersebut," ujarnya.

Ditanya sama ada Bajet 2023 bakal mengulangi sejarah tahun 1999, di mana belanjawan di bawah pentadbiran Dr Mahathir ketika itu tidak sempat diluluskan, Encik Azhar berkata, perkara itu perlu diajukan kepada Kementerian Kewangan (MOF), menurut Astro AWANI.

"Kena tanya MOF, saya tidak tahu kerana kita cuma senaraikan apa yang diberi notis kepada kita. Senarainya ialah dalam sidang kali ini, Bajet 2023 akan dibawa untuk bacaan pertama dan pada Jumaat akan dibawa untuk bacaan kedua," katanya.

"Kemudian, akan dibahas di peringkat dasar dan peringkat jawatankuasa. Itu adalah seperti yang termaklum sekarang," seperti dinukil Astro AWANI.

Mengulas sama ada Perdana Menteri akan membentangkan Bajet 2023, jelas Encik Azhar, seperti kelazimannya, belanjawan akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan.

"Setakat ini tidak ada pemakluman siapa akan bentang," katanya lagi.

Jelasnya, jika Parlimen dibubarkan dan pilihan raya umum diadakan selepas Bajet 2023, maka kerajaan yang baru perlu membuat bacaan yang pertama semula.

"Sebab ini belanjawan, ia tidak mengikat kerajaan yang berikutnya, jadi kena ada bacaan pertama yang baru. Boleh guna bajet yang sudah dibentangkan, kalau kerajaan baru nak guna," jelas beliau.

Untuk rekod, pada 29 Oktober 1999, bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad membubarkan Parlimen selepas pembentangan Bajet 2000 dan ia menyaksikan bajet berkenaan tidak sempat diluluskan.
Sumber : Agensi berita/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan