Skip to main content

Dunia

Xi seru tolak dasar perlindungan, amal keterbukaan di Jaluran Ekonomi Laluan Sutera

Presiden China Xi Jinping menggesa puluhan pemimpin dunia pada Sabtu (27 Apr) untuk menolak dasar-dasar perlindungan ekonomi dan menjemput lebih banyak negara untuk menyertai projek prasarana global yang diterajuinya, dalam usaha untuk mengurangkan keprihatinan berhubung program tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Apr 2019 06:05PM Dikemas Kini : 28 Apr 2019 12:50AM

BEIJING: Presiden China Xi Jinping menggesa puluhan pemimpin dunia pada Sabtu (27 Apr) untuk menolak dasar-dasar perlindungan ekonomi dan menjemput lebih banyak negara untuk menyertai projek prasarana global yang diterajuinya, dalam usaha untuk mengurangkan keprihatinan berhubung program tersebut.

Berucap di hadapan 37 pemimpin dari Eropah, Afrika, Asia dan Amerika Latin, Encik Xi menekankan lagi manfaat bersama yang boleh diraih daripada inisiatif Jaluran Ekonomi Laluan Sutera (BRI) pada hari terakhir forum tiga hari BRI ke-2 di ibu kota China itu.

Ekonomi kedua terbesar dunia itu kini terlibat dalam perang dagangan dengan Amerika Syarikat dan Encik Xi mahu memainkan peranan sebagai peneraju kuasa baru dunia ke arah ekonomi lebih terbuka kepada kerjasama pelbagai pihak dan globalisasi.

"Kita perlu membangunkan ekonomi dunia yang terbuka dan menolak dasar perlindungan," kata Encik Xi kepada para pemipin termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin, Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte dan Perdana Menteri Pakistan Imran Khan dalam persidangan meja bulat.

Dalam pada itu, satu draf kenyataan bagi forum tersebut yang dilihat AFP berkirar untuk "menolak dasar perlindungan" dan "tindakan sehala", yang jelas menolak prinsip "Amerika diutamakan" yang menjadi tumpuan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump. Para pegawai Amerika Syarikat tidak hadir di sidang puncak itu.

Dasar luar utama Encik Xi itu bertujuan menyegarkan semula Laluan Sutera untuk menghubungkan Asia ke Eropah dan Afrika menerusi pelaburan-pelaburan berskala besar dalam projek maritim, jalan raya dan kereta api - dengan pendanaan bernilai ratuan bilion dolar dari bank-bank China.

"Kita perlu menggalak lebih banyak negara dan syarikat untuk turut serta agar kepentingan bersama dapat dikembangkan," kata Encik Xi.

Bagaimanapun para pengkritik menyifatkan BRI sebagai usaha meningkatkan pengaruh Beijing di persada dunia. Projek itu dikatakan dipenuhi pelbagai perjanjian berat sebelah berpihak kepada syarikat-syarikat China dan membebankan negara-negara dengan hutang selain kerosakan alam sekitar.

Amerika Syarikat, India dan beberapa negara Eropah menzahirkan rasa sangsi terhadap projek itu.

Encik Xi cuba menyangkal beberapa keprihatinan tersebut di majlis pembukaan pada Jumaat, dengan berkata BRI "tidak akan bertolak ansur langsung" dengan rasuah, seraya berikrar bahawa projek itu mampan dari segi kewangan dan akan membuka ekonomi China.

"Ekoran cabaran yang meningkat sepanjang setahun setengah lalu serta imej beban hutang ini ... China sedang cuba menukar posisi (BRI) dan memberi jaminan," kata Nadege Rolland, seorang felow kanan di Biro Kebangsaan Penyelidikan Asia, sebuah kumpulan pemikir berpangkalan di Amerika Syarikat.

Namun kata beliau, "kita lihat dulu bagaimana perlaksanaannya pula".

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita