Xi Jinping tiba di New Delhi untuk sidang BRICS sedang isu perang, perdagangan uji perpaduan
Presiden China Xi Jinping bersalaman dengan Perdana Menteri India Narendra Modi di luar Sidang Puncak BRICS di Kazan, Rusia, pada 23 Oktober 2024. (Gambar arkib: X melalui AP/Kementerian Penerangan dan Penyiaran India)
- Presiden China Xi Jinping menghadiri sidang kemuncak BRICS di New Delhi bersama pemimpin India, Rusia, Iran dan negara anggota lain untuk membincangkan isu global utama.
- Lawatan Xi ke India adalah yang pertama sejak 2019, bertujuan meredakan ketegangan selepas insiden sempadan dan memperbaiki hubungan dua hala.
- Sidang dua hari ini memberi tumpuan kepada konflik di Timur Tengah dan Ukraine, ketidaktentuan perdagangan serta isu tenaga yang menguji perpaduan BRICS.
- Perbezaan pendirian antara anggota, terutama berkaitan perang dan peluasan BRICS, menjadi cabaran utama dalam mencapai persetujuan bersama.
Konflik di Timur Tengah dan Ukraine, selain ketidaktentuan perdagangan global serta keterjaminan tenaga, dijangka menjadi tumpuan pertemuan dua hari blok 11 negara itu.
Namun, lawatan Encik Xi turut menjadi perhatian kerana ia merupakan kunjungan pertamanya ke negara jiran India sejak 2019, serta langkah terbesar setakat ini dalam usaha meredakan ketegangan antara dua negara bersenjata nuklear itu.
Lawatan beliau diadakan enam tahun selepas pertempuran ketenteraan pada 2020 yang mengorbankan nyawa di sepanjang sempadan Tibet yang dipertikaikan kedua-dua negara. Hubungan mereka semakin bertambah baik menerusi pemulihan penerbangan, visa dan hubungan peringkat tinggi.
Beijing pada Jumaat menyatakan pihaknya “sedia bekerjasama dengan India ... dengan memperkukuh komunikasi, meningkatkan kerjasama dan menangani perbezaan dengan sewajarnya”.
Pertikaian wilayah antara kedua-dua negara masih belum terhurai, dan kedua-duanya mengekalkan penempatan sejumlah besar tentera di sempadan altitud tinggi sepanjang sekitar 3,500 kilometer di Tibet.
“HASIL KETARA”
Encik Xi dijadualkan mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Perdana Menteri India Narendra Modi pada Sabtu, menurut Kementerian Luar India.
“Mereka mahu mencapai ‘hasil awal dan ketara’ berhubung isu sempadan,” kata Pradeep Taneja, seorang pakar isu China-India di Universiti Melbourne.
“Anda tidak boleh meningkatkan kekuatan tentera di sempadan ... tetapi pada masa yang sama berkata ‘kita harus terus mempunyai hubungan antara rakyat dan hubungan ekonomi’.”
Rasa tidak percaya yang mendalam masih wujud, dengan pertikaian di sempadan Himalaya, defisit perdagangan yang semakin melebar dan persaingan strategik terus merumitkan hubungan kedua-dua negara.
India telah menangani krisis tenaga yang berpunca daripada perang Amerika Syarikat-Iran, sebahagiannya dengan beralih kepada Rusia sebagai sumber bekalan tenaga, meskipun Mosko masih berperang di Ukraine dan berdepan tekanan daripada Washington serta negara-negara Barat lain.
Presiden Iran Masoud Pezeshkian, yang turut berada di New Delhi pada Jumaat, berkata tekanan terhadap Iran “telah mencapai tahap kritikal dan berbahaya” menyusuli “pencerobohan ketenteraan oleh Amerika Syarikat dan Israel”.
Encik Modi dan Encik Pezeshkian turut mengadakan perbincangan.
India mengekalkan hubungan baik dengan Iran dan Israel, tetapi pada masa yang sama berwaspada dalam mengimbangi hubungan dengan Washington.
“KEKANGAN BESAR”
BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai wadah bagi ekonomi utama yang sedang pesat membangun untuk mendapatkan pengaruh lebih besar dalam institusi yang dikuasai negara-negara Barat.
Presiden UAE Mohamed bin Zayed Al Nahyan, Menteri Luar Arab Saudi Putera Faisal bin Farhan dan Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi turut dijadualkan menghadiri sidang puncak itu.
Brazil pula diwakili Menteri Luarnya Mauro Vieira, sedang Presiden Luiz Inacio Lula da Silva berkempen bagi penggal keempat dalam pilihan raya Oktober.
Para menteri luar BRICS gagal mencapai persetujuan mengenai kenyataan bersama ketika mereka bertemu di New Delhi pada Mei.
“Konflik Teluk akan menjadi garis perpecahan utama kali ini dalam sidang puncak BRICS,” kata Harsh V Pant daripada Yayasan Kajian Pemerhati di India.
“Apa yang dilihat sehingga tahun lalu sebagai satu pencapaian - peluasan BRICS - kini kelihatan seperti satu kekangan besar terhadap BRICS,” katanya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.