Skip to main content

Dunia

Xi Jinping beri sokongan kepada Presiden Myanmar dalam pertemuan di Beijing

Anggaran Waktu Membaca:
 Xi Jinping beri sokongan kepada Presiden Myanmar dalam pertemuan di Beijing

Presiden Myanmar Min Aung Hlaing (kiri) berjabat tangan dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing. (Gambar: Handout / Myanmar's Presidential Press and Information Bureau / AFP)

Diterbitkan : 16 Jun 2026 06:51PM
  • Presiden China Xi Jinping dan Presiden Myanmar Min Aung Hlaing bertemu di Beijing untuk memperkukuh hubungan dua hala dan membincangkan isu strategik.
  • Kedua-dua negara menandatangani 18 memorandum kerjasama meliputi pengangkutan, perdagangan, bantuan bencana, kesihatan dan media.
  • China menegaskan sokongan terhadap kestabilan politik dan pembangunan Myanmar, serta menggesa kemajuan projek infrastruktur utama yang dijalankan bersama.
  • Lawatan ini dilihat mempererat hubungan Myanmar-China dan meningkatkan penerimaan antarabangsa terhadap kepimpinan Min Aung Hlaing.
Dijana oleh AI
BEIJING: Presiden China Xi Jinping pada Selasa (16 Jun) menyatakan sokongan terhadap kepimpinan politik Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing - mantan ketua tentera yang kini bergelar presiden - ketika kedua-dua pemimpin itu bertemu di Beijing bagi merangka pembangunan masa depan hubungan dua hala mereka.

Agensi berita rasmi China, Xinhua, memetik kenyataan Encik Xi semasa pertemuan itu yang menegaskan bahawa Beijing sentiasa mengutamakan hubungannya dengan Naypyitaw sebagai sebahagian daripada strategi diplomasinya dengan negara-negara jiran. Beliau turut mengesahkan sokongannya terhadap usaha pemerintah Myanmar sekarang dalam memacu pembangunan dan keselamatan negara itu.

"Saya sedia untuk terus memperkukuh kepimpinan kita (ke atas hubungan dua hala kedua-dua negara), meneruskan ikatan persahabatan seperti saudara antara rakyat kita, serta memperdalam kerjasama strategik yang menyeluruh," kata Encik Xi kepada Min Aung Hlaing, menurut stesen penyiaran rasmi China, CCTV.

Mantan ketua junta tentera itu kini berada di China bagi lawatan rasmi negara selama lima hari sehingga Jumaat ini. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke negara ekonomi kedua terbesar di dunia itu sejak beliau mengukuhkan kuasanya ekoran pilihan raya penuh kontroversi di negara yang dilanda perang itu pada Disember dan Januari lalu.

Encik Xi juga bercakap tentang usaha memberikan sumbangan yang lebih besar kepada keamanan dan pembangunan serantau melalui hubungan dua hala dengan Myanmar. Kedua-dua negara berkongsi sempadan darat sepanjang hampir 2,200 kilometer (1,367 batu).

Beijing mengadakan upacara sambutan rasmi negara di Dewan Besar Rakyat China sebelum kedua-dua pemimpin memulakan rundingan dalam mesyuarat tertutup yang berlangsung selama kurang daripada sejam. Kedua-dua pemimpin itu kemudian menyaksikan majlis menandatangani dokumen kerjasama, lapor Xinhua.

Sebanyak 18 memorandum kerjasama (MoU) ditandatangani merangkumi pelbagai bidang termasuk pengangkutan rentas sempadan di subrantau Greater Mekong, perdagangan bebas, bantuan bencana alam, kesihatan, dan media.

KESTABILAN & KESELAMATAN

China kekal sebagai salah satu rakan kongsi asing paling penting bagi pihak tentera Myanmar, yang merampas kuasa daripada kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi yang dipilih rakyat pada Februari 2021, sekali gus mencetuskan kebangkitan bersenjata.

China mengulangi sokongannya untuk menyatukan kuasa politik domestik dan mengembalikan kestabilan di Myanmar, sambil menyatakan bahawa langkah itu mencerminkan kepentingan nasional jangka panjang negara Asia Tenggara berkenaan.

"China menyokong semua pihak di Myanmar untuk memajukan keamanan dan perdamaian melalui dialog, bagi mencapai kestabilan yang berterusan di utara Myanmar," kata Encik Xi kepada tetamunya itu, menurut Xinhua.

Encik Xi juga menggesa kedua-dua belah pihak untuk memajukan projek-projek prasarana utama dengan jaminan keselamatan, sambil menyifatkan kemajuan projek tersebut sebagai sesuatu yang menguntungkan pembangunan ekonomi Myanmar.

Beijing melabur dalam pelbagai projek di Myanmar di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan, termasuk saluran paip minyak dan gas yang merentasi negara itu serta rancangan pembinaan prasarana seperti pelabuhan laut dalam.

Projek-projek ini merupakan sebahagian daripada Koridor Ekonomi China-Myanmar yang menghubungkan wilayah Yunnan di barat daya China ke Lautan Hindi. Banyak daripada projek ini, yang terletak di kawasan pertempuran aktif, menghadapi ancaman dan serangan sejak rampasan kuasa berlaku.

Pertemuan ini merupakan kali kedua buat Encik Min Aung Hlaing bersama Encik Xi dalam tempoh kurang daripada setahun, selepas beliau menghadiri sidang puncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai di Tianjin pada Ogos lalu.

Walaupun Encik Min Aung Hlaing memilih India sebagai destinasi lawatan rasmi pertamanya ke luar negara selepas bergelar presiden, beberapa penganalisis berpandangan bahawa siri lawatan ke China ini menunjukkan hubungan yang semakin erat dengan Beijing, sekali gus meningkatkan penerimaan beliau di peringkat antarabangsa.
Sumber : Reuters/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita