Xi Jinping akan lawat Korea Utara dari 8 hingga 9 Jun
Presiden China Xi Jinping akan melawat Korea Utara pada 8 dan 9 Jun dalam lawatan luar negara pertamanya tahun ini, lapor agensi berita negara Xinhua pada Jumaat (5 Jun).
Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden China Xi Jinping berjabat tangan pada hari sidang puncak dua hala di Beijing, China, pada 4 September 2025. (Gambar: KCNA menerusi REUTERS)
"Atas undangan Kim Jong Un ... Xi Jinping, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (CPC) dan Presiden Republik Rakyat China, akan mengadakan lawatan negara ke Republik Demokratik Rakyat Korea dari 8 hingga 9 Jun," menurut penyiar China CCTV.
Ia merupakan lawatan luar negara pertama Encik Xi tahun ini dan diadakan tidak lama selepas pertemuan beliau di Beijing dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Mei lalu.
Pengesahan lawatan tersebut dibuat selepas kemungkinan mengenai lawatan itu timbul sejak beberapa minggu kebelakangan ini, menyusuli laporan media dan kehadiran delegasi China di Pyongyang.
Para penganalisis sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa lawatan Encik Xi ke Pyongyang akan menandakan hasrat Beijing untuk mengukuhkan semula pengaruhnya di Korea Utara dan Semenanjung Korea secara lebih meluas.
Encik Xi kali terakhir melawat Korea Utara pada 2019, apabila beliau bertemu dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan diberikan penghormatan istiadat ketenteraan.
Sementara itu, Encik Kim melawat China pada September 2025 untuk menghadiri acara perbarisan tentera sempena ulang tahun ke-80 berakhirnya Perang Dunia II. Beliau turut mengadakan pertemuan dengan Encik Xi semasa lawatan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.