Xi bakal diiringi delegasi besar dalam lawatan ke Amerika Syarikat: Sumber
Presiden Xi Jinping sedang merancang untuk membawa sebuah delegasi besar ahli perniagaan bersamanya dalam lawatan ke Washington, menurut dua sumber.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menghadiri acara di Dewan Besar Rakyat dan bersalaman dengan Presiden China Xi Jinping di Beijing pada 14 Mei 2026. (Gambar fail: REUTERS/Kenny Holston)
- Presiden Xi Jinping merancang membawa delegasi besar ahli perniagaan China ke Washington untuk sidang puncak pada 24 September, satu langkah yang jarang dilakukan.
- Langkah ini bertujuan memperbaiki hubungan perdagangan dan pelaburan antara China dan Amerika Syarikat, di tengah ketegangan serta sekatan yang dikenakan Washington terhadap syarikat China.
- Kedua-dua negara sedang membincangkan isu tarif, kategori barangan "tidak sensitif", serta lesen eksport nadir bumi, namun jangkaan hasil besar pada sidang puncak adalah sederhana.
- Beberapa pegawai kanan dari kedua-dua negara dijadualkan bertemu awal September untuk merangka hasil sidang puncak, dengan pengumuman berkaitan pertanian dan hambatan bukan tarif dijangka dibuat.
Encik Xi jarang membawa para eksekutif syarikat dalam lawatan ke luar negara. Ramai daripada mereka tidak lagi mendapat perhatian Beijing selepas pemerintah memperketat kawal selia terhadap sektor teknologi, pendidikan dan hartanah mulai 2020.
Rancangan membawa delegasi perniagaan bagi sidang puncak pada 24 September itu belum pernah dilaporkan sebelum ini. Reuters tidak dapat memastikan eksekutif mana yang akan menyertai delegasi tersebut.
Langkah itu antara lain bertujuan memberi isyarat bahawa China bersedia untuk menyokong pelaburan dan hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat, selain menawarkan beberapa potensi manfaat ekonomi kepada Rumah Putih menjelang pilihan raya separuh penggalnya, menurut salah seorang sumber yang mengetahui tentang perbincangan tersebut.
Syarikat-syarikat China berdepan penelitian yang semakin ketat terhadap pelaburan dan operasi perniagaan mereka di Amerika Syarikat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Washington mengenakan tarif 100 peratus ke atas kenderaan elektrik (EV) yang diimport dari China, mengharamkan import dron, router dan robot asing serta memaksa pelupusan operasi TikTok di Amerika Syarikat. Ia turut menyenaraikan beberapa syarikat teknologi utama China dalam Senarai Entiti yang merangkumi firma atau pertubuhan yang dianggapnya sebagai ancaman terhadap keselamatan negara, selain memasukkannya ke dalam senarai hitam Pentagon.
Kali terakhir Encik Xi membawa delegasi perniagaan yang besar ke Amerika Syarikat adalah pada 2015. Ia termasuk pengasas Alibaba Jack Ma, pengasas Tencent Pony Ma serta para eksekutif daripada bank-bank China dan syarikat-syarikat milik negara.
Semasa lawatan tersebut, China memeterai perjanjian bernilai AS$38 bilion (S$48.6 bilion) bagi 300 pesawat Boeing. Encik Xi turut bertemu eksekutif teknologi AS termasuk Tim Cook dari Apple, Mark Zuckerberg dari Meta dan pengasas Amazon Jeff Bezos.
Sebagai perbandingan, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pernah melakukan lawatan ke China bersama sebuah delegasi besar para eksekutif Amerika, termasuk semasa lawatan pada 2017 dan Mei 2026, dalam usahanya mendapatkan akses lebih luas ke pasaran China.
DELEGASI BESAR AHLI PERNIAGAAN AMERIKA KUNJUNGI BEIJING
Encik Trump membawa 18 eksekutif Amerika, termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang dan Elon Musk, ke China pada Mei, menurut sumber-sumber tersebut.
"Pada pandangan saya, pihak China... akan mengambil pendekatan yang lebih terancang dalam menentukan peranan ahli perniagaan ini dengan membawa mereka bersama dalam sebuah delegasi," kata pakar perniagaan China di Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Scott Kennedy.
Penyertaan para eksekutif tersebut boleh menjadi "sangat bernilai", kata beliau.
Encik Kennedy membandingkan pendekatan China itu dengan pendekatan delegasi Amerika Syarikat pada Mei. Menurutnya, delegasi tersebut dibentuk dalam masa yang singkat dan para eksekutifnya "lebih banyak menjadi pemerhati daripada peserta yang benar-benar terlibat".
Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat, Pejabat Wakil Perdagangan Amerika Syarikat dan Jabatan Negara tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen. Kementerian Perdagangan China juga tidak segera memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk mendapatkan komen.
Kementerian Luar China menyatakan kedua-dua negara terus berhubung mengenai rancangan interaksi antara pemimpin mereka pada tahun ini, tanpa memberikan butiran lanjut.
SIDANG PUNCAK YANG SIMBOLIK
Kedua-dua negara mengumumkan mekanisme rasmi bagi menguruskan hubungan perdagangan dan pelaburan pada Mei.
Namun, tiga sumber berasingan yang dimaklumkan berhubung perkara tersebut memaklumkan, Lembaga Pelaburan dijangka tidak membuahkan banyak hasil yang ketara pada sidang puncak tersebut disebabkan oleh persekitaran yang mencabar bagi pelaburan China di Amerika Syarikat.
Jangkaan terhadap sidang puncak itu kekal sederhana, dengan peluang terhad untuk mencapai kejayaan besar, menurut sumber-sumber tersebut.
Beijing dan Washington juga masih berbeza pendapat berhubung produk yang sepatutnya dikategorikan sebagai "tidak sensitif" di bawah Lembaga Perdagangan, menurut tiga sumber berkenaan.
Kira-kira 10 kategori barangan "tidak sensitif" sedang dibincangkan untuk dimasukkan, namun perkara tersebut mungkin berubah menjelang sidang puncak itu, menurut salah seorang sumber.
LEMBAGA PERDAGANGAN
Mencapai persetujuan mengenai Lembaga Perdagangan merupakan antara keutamaan utama Amerika Syarikat bagi sidang puncak tersebut, selain mendapatkan lebih banyak lesen eksport nadir bumi bagi syarikat-syarikat Amerika Syarikat, menurut sumber-sumber itu.
Seorang pegawai Amerika Syarikat yang tidak dinamakan berkata pentadbiran Encik Trump terus mendesak rakan sejawatannya dari China supaya menangani kegagalan Beijing mematuhi perjanjian yang diumumkan di Busan pada Oktober. Perjanjian tersebut menghasilkan gencatan perdagangan selama setahun yang menangguhkan beberapa sekatan eksport dan tarif, selain menangani kebimbangan dua hala yang lain.
Beijing pula mendesak supaya lebih banyak tarif dilonggarkan. Kementerian Perdagangan China menyatakan pada Julai bahawa kedua-dua pihak sedang meneroka pengurangan tarif berbalas yang meliputi produl-produk bernilai AS$30 bilion (S$38.06 bilion).
Mahkamah Agung Amerika Syarikat pada Februari membatalkan tarif berkaitan China yang dikenakan di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa. Namun, Washington kemudiannya memperkenalkan tarif import global sebanyak 10 peratus.
Wakil Perdagangan Amerika Syarikat Jamieson Greer berkata pada Khamis bahawa kedua-dua negara akan membuat "beberapa pengumuman berhubung pertanian dan hambatan bukan tarif" semasa sidang puncak tersebut, tanpa memberikan butiran lanjut.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat Scott Bessent, Encik Greer dan Naib Perdana Menteri China He Lifeng akan bertemu pada awal September untuk membincangkan hasil yang mahu dicapai pada sidang puncak tersebut, menurut empat sumber kepada Reuters.
Reuters tidak dapat memastikan tarikh atau lokasi tepat bagi rundingan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.