Skip to main content

Dunia

Xi bakal bertemu Sisi sempena lawatan pertama ke Mesir dalam 10 tahun

Presiden China Xi Jinping dijadual mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Mesir pada Rabu (2 Sep), dalam lawatan pertamanya ke Kaherah dalam tempoh sedekad, sedang negara tersebut diancam sekatan Amerika Syarikat berikutan hubungan kewangannya dengan Iran.

Anggaran Waktu Membaca:
Xi bakal bertemu Sisi sempena lawatan pertama ke Mesir dalam 10 tahun

Presiden China Xi Jinping disambut Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan isterinya, Entissar Amer, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah bagi lawatan rasmi ke Mesir, yang merupakan lawatan negara pertamanya ke negara itu dalam tempoh 10 tahun, di Kaherah, Mesir, pada 1 Sep 2026. (Gambar: Pool menerusi REUTERS/Mohamed Abd El Ghany)

Diterbitkan : 02 Sep 2026 03:06PM
KAHERAH: Presiden China Xi Jinping dijadual mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya dari Mesir pada Rabu (2 Sep), dalam lawatan pertamanya ke Kaherah dalam tempoh sedekad, sedang negara tersebut diancam sekatan Amerika Syarikat berikutan hubungan kewangannya dengan Iran.

Encik Xi tiba di Kaherah pada petang Selasa bersama Wanita Pertama Peng Liyuan.

Mereka disambut oleh Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi dan Wanita Pertama Entissar Amer.

Ketika meninggalkan kawasan landasan, mereka disambut sekumpulan penari tarian rakyat dan diapit dua barisan remaja yang mengenakan kemeja-T dengan gambar Encik Xi.

Lawatan dua hari itu dijangka menyaksikan kedua-dua presiden menandatangani beberapa perjanjian ekonomi dan membincangkan kesan perang Amerika Syarikat-Iran.

Menurut para penganalisis, Kaherah akan menggunakan sidang puncak itu untuk menegaskan autonomi strategiknya, sekali gus menunjukkan bahawa ia mampu memanfaatkan hubungan rapat dengan Washington dan Beijing.

Encik Sisi, dalam satu rencana yang diterbitkan media Mesir pada Selasa, menekankan "dasar luar bebas" Kaherah, beberapa hari selepas sebuah cawangan bank kedua terbesar di Mesir dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Washington pada bulan lalu berikrar untuk meminggirkan Iran dari segi ekonomi dan mengancam untuk memperluaskan sekatan yang turut boleh menjejaskan bank-bank di China, antara lain.

China, yang merupakan pembeli utama minyak Iran, berikrar akan melindungi kepentingannya.

Menjelang pertemuan yang dijangka berlangsung antara Encik Xi dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump bulan ini, Beijing juga berusaha untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara di rantau itu yang menjalin hubungan muhibah dengan Amerika Syarikat.

Mesir merupakan antara penerima terbesar bantuan ketenteraan Amerika Syarikat dan sejak sekian lama memainkan peranan penting sebagai perantara di Timur Tengah.

Minggu lalu, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat mengumumkan sekatan terhadap cawangan Banque Misr di Amiriah Arab Bersatu (UAE) atas tuduhan memberikan sokongan kepada Iran.

TINGKAT PELABURAN

Dalam rencananya, Encik Sisi menulis bahawa Mesir dan China adalah rakan niaga yang "memperkukuhkan peranan negara-negara Global Selatan" di tengah-tengah dunia yang semakin berpecah belah.

Mesir - yang menjadi antara pembeli senjata terbesar dunia di bawah pentadbiran Encik Sisi - menjadi tuan rumah latihan tempur udara bersama berskala besar dengan tentera China pada Ogos, yang turut melibatkan jet pejuang J-16 milik Beijing.

Di Kaherah, sebuah bandar yang dihuni lebih 26 juta penduduk, jalan-jalan utama dihiasi bendera China dan Mesir, di samping papan iklan yang memaparkan Encik Sisi dan Encik Xi.

Papan tanda di jalan raya memaparkan ungkapan mengenai "persahabatan Mesir-China yang 'bertahan' dari generasi ke generasi seperti Sungai Nil". Sementara itu, para penduduk dinasihatkan supaya membuat perancangan bagi menghadapi kelengahan lalu lintas yang ketara pada perjalanan mereka.

Encik Xi dijangka merentasi seluruh ibu kota tersebut sepanjang lawatannya pada Rabu, termasuk melakukan persinggahan di Muzium Besar Mesir yang menghadap Piramid Giza.

Dalam sidang puncak pada sebelah pagi, kedua-dua anggota BRICS itu dijangka menandatangani beberapa perjanjian bagi memperluaskan perdagangan dan kerjasama ekonomi, termasuk dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pengangkutan dan tenaga.

Pelaburan China memainkan peranan penting dalam pelbagai projek mega yang dilaksanakan sepanjang 12 tahun pentadbiran Encik Sisi.

China membiayai Daerah Kewangan dan Perniagaan yang dipenuhi bangunan pencakar langit di Ibu Kota Pentadbiran Baharu, projek utama dalam agenda pembangunan Encik Sisi yang terletak 50 kilometer ke timur Kaherah.

Beijing juga mempunyai kehadiran besar di Zon Ekonomi Terusan Suez. Encik Xi dan Encik Sisi dijangka membincangkan usaha memperluaskan pelaburan di kawasan tersebut sedang perang Amerika Syarikat-Iran terus mengancam perdagangan maritim global.

China merupakan pengeksport utama ke Mesir, dengan lebihan perdagangannya mencecah AS$12 bilion (S$15.28 bilion) dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, menurut data kastam China.
Sumber : AFP/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita