Skip to main content

Dunia

Wiranto beransur pulih susuli tikaman pasangan radikal

Naib Presiden Indonesia terpilih bagi tempoh 2019-2024, Ma'ruf Amin, berkata keadaan kesihatan Menteri Penyelaras Ehwal Politik, Hukum dan Keamanan Wiranto akan kembali pulih tidak lama lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Wiranto beransur pulih susuli tikaman pasangan radikal

Ketua Menteri Keselamatan Indonesia Wiranto. (Gambar fail: ADEK BERRY/AFP)

Diterbitkan : 13 Oct 2019 07:05PM Dikemas Kini : 13 Oct 2019 07:08PM

JAKARTA: Naib Presiden Indonesia terpilih bagi tempoh 2019-2024, Ma'ruf Amin, berkata keadaan kesihatan Menteri Penyelaras Ehwal Politik, Hukum dan Keamanan Wiranto akan kembali pulih tidak lama lagi.

"Saya lihat kondisinya sudah membaik. Menurut doktornya itu sudah dalam proses penyembuhan. Insya Allah tidak lama lagi beliau akan pulih," ujar Encik Ma'ruf selepas menziarahi Encik Wiranto di Paviliun Kartika, Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat (RSPAD) Gatot Soebroto, Jakarta, pada Ahad (13 Okt).

Beliau berkata keadaan Encik Wiranto beransur pulih. Dalam kunjungannya selama 15 minit itu, Encik Ma'ruf berkongsi beliau sempat berbual-bual dengan mantan Panglima ABRI berkenaan. Menurut beliau, Encik Wiranto cukup lancar apabila menjawab pertanyaan-pertanyaan daripadanya.

"Beliau bicara lantang, lancar. Alhamdulillah sudah baik dan mudah-mudahan tidak lama lagi akan langsung pulang," kata Ketua Majlis Ulama Indonesia itu.

Encik Ma'ruf menambah dirinya baru sempat menjenguk Encik Wiranto hari ini berikutan peristiwa pada Khamis lalu (10 Okt) yang menimpa menteri berkenaan. Encik Ma'ruf berada di Nusa Tenggara Barat bagi menghadiri Rapat Kerja Nasional (Rakernas) MUI.

Beliau juga melahirkan kesyukuran kerana Encik Wiranto berjaya mendapatkan rawatan segera lantaran, melancarkan proses pemulihannya.

Menteri berkenaan menerima rawatan di RSPAD tersebut setelah ditusuk pada bahagian perutnya oleh orang yang tidak dikenali. Ketika kejadian berlaku, beliau baru sahaja melangkah keluar dari kereta setibanya di taman Alun-Alun Menes dekat Pandeglang untuk menghadiri acara bersama para penduduk di sana.

Ekoran itu, dua suspek yang dipercayai radikal sudahpun ditangkap - Syahril Alamsyah, 31 tahun, dan Fitri Andriana Sunarto, 21 tahun. Mereka disyaki adalah anggota Jamaah Ansharut Daulah (JAD) iaitu sebuah rangkaian pengganas yang ada kaitan dengan ISIS.

Selain Encik Wiranto, tiga orang lain turut cedera dalam percubaan membunuh itu - penolong Menteri berkenaan, Ketua Polis Menes dan pegawai Universiti Mathla'ul Anwar.  

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita