Skip to main content

Dunia

Wira hijau kampung nelayan Johor giat pulihara, pertingkat kesedaran alam sekitar

Sedang kuasa-kuasa dunia berikrar untuk bekerjasama menangani perubahan iklim, para individu dan masyarakat kini juga bertindak untuk melindungi alam sekitar.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 13 Nov 2021 06:11PM Dikemas Kini : 13 Nov 2021 09:27PM

TANJUNG KUPANG, JOHOR: Sedang kuasa-kuasa dunia berikrar untuk bekerjasama menangani perubahan iklim, para individu dan masyarakat kini juga bertindak untuk melindungi alam sekitar.

Wira-wira hijau dari kampung nelayan yang kecil di negeri Johor, Malaysia, sedang melakukan sebaik mungkin untuk memelihara rumput laut yang memainkan peranan besar dalam mengawal alam sekitar di kawasan laut.

PEMULIHARAAN RUMPUT LAUT

Related article image

Menjalankan kajian rumput laut. (Gambar: Facebook/Kelab Alami)

Dr Serina Rahman – saintis persekitaran, ahli antropologi dan zamil pelawat di Universiti Nasional Singapura (NUS) bukan calang-calang orang.

Namun dengan rendah hati beliau berkata dirinya hanya seorang cikgu dengan laut menjadi “bilik darjah” beliau.

Tanjung Kupang misalnya mempunyai tumbuhan rumput laut yang terpanjang di Semanjung Malaysia - hampir dua kilometer.

Ia merupakan satu-satunya kawasan yang boleh anda jelajah dengan berjalan ketika air surut.

"Kalau kita tiada rumput laut, ikan tiada tempat membiak, memakan dan bila kita ada ikan kecil, ikan besar akan masuk. Dari situlah nelayan akan dapat hasil pendapatan.

"Dari segi iklim, ada lain kepentingan rumput laut ini. Dia boleh mengurangkan karbon. Ia boleh simpan karbon antara 50 hingga 100 kali ganda daripada hutan darat. Rumput laut sebenarnya sangat penting," kongsi Dr Serina Rahmah, Zamil Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak.

Kawasan rumput laut itu tumbuh segar di laut mahupun di relung hati Dr Serina.

Di situlah beliau bertemu dengan seorang nelayan Shalan Jum’at – yang kini suami beliau.

KELAB ALAMI PERKASA PENDUDUK

Related article image

Gambar: Facebook/Kelab Alami

Pada 2008, pasangan tersebut menubuhkan Kelab Alami.

Ia menggalak penduduk kampung dan para pelajar mempelajari tentang alam sekitar serta ekosistem marin yang kaya.

Salah seorang anggota adalah Mohamad Irfan,23 tahun, yang mula bergabung dengan Kelab Alami sejak kecil.

Minat beliau terhadap pemuliharaan alam pun mula mekar.

Lesen pemandu alam semula jadi yang diraih baru-baru ini membolehkan beliau dan anggota-anggota kelab membawa pelancong menjelajah kampung mereka yang kaya dengan khazanah alam.

"Kita buat aktiviti pembelajaran, iaitu pembelajaran mengenai sains marin, dan juga pembelajaran macam mana hendak menjaga alam semula jadi di kawasan sini. Jadi daripada situ juga saya dapat meluaskan saya punya pengetahuan," kata Pengurus Kelab Alami Mohammad Irfan.

Dengan cara itu, mereka berupaya menarik perhatian tentang pentingnya pembangunan yang seimbang – tanpa mengorbankan alam sekitar dan tumbuh-tumbuhan.

Dr Serina berharap Kelab Alami boleh menjadi teladan untuk masyarakat lain di Malaysia.

"Mereka sebagai wakil kawasan ini dan pakar kawasan laut di sini, mereka boleh terangkan tentang habitat ini kepada orang luar. Dari situ orang luar dapat tahu, yang di sini ada habitat yang sangat penting, sangat terancam, sangat unik dan perlu dijaga," kata beliau.

PASAR PENDEKAR LAUT

Related article image

Pasar Pedekar Laut sebelum COVID-19. (Gambar: Facebook/Kelab Alami)

Dalam pada itu, Dr Serina dan suami juga mengelola pasar pendekar laut.

Ia bertujuan membantu nelayan memahami tentang alam sekitar serta menambah pendapatan.

Dengan itu, para pemimpin masyarakat di pekan-pekan di Johor kini mengorak langkah memelihara alam sekitar.

Selain memperkenalkan Kelab Alami, mereka juga memperkenalkan cara mampan menangkap ikan.

Demikian usaha bersama untuk menyelamatkan bumi daripada petaka alam - selain langkah pemerintah dan pertubuhan seantero dunia.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita