Skip to main content

Dunia

Wilayah selatan Thailand masih dilanda banjir, usaha bantuan diperhebat

Anggaran Waktu Membaca:
Wilayah selatan Thailand masih dilanda banjir, usaha bantuan diperhebat
Situasi banjir di Selatan Thailand dilaporkan kekal kritikal, dengan 10 wilayah masih ditenggelami air. (Gambar: Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana Thailand)
New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 23 Nov 2025 04:54PM
BANGKOK: Banjir berterusan di 10 wilayah selatan Thailand pada pagi Ahad (23 Nov), menjejas lebih 124,000 isi rumah dan mendorong pengerahan sumber bantuan bencana tambahan.

Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana (DDPM) Thailand melaporkan bahawa situasi banjir di bahagian selatan negara itu kekal kritikal, dengan 10 wilayah masih ditenggelami air, manakala banjir turut menjejas penduduk di 11 wilayah di kawasan utara dan tengah Thailand.

Ketua Pengarah DDPM, Teerapat Kachamat berkata jabatan itu sudah mengerahkan tambahan anggota dengan segera, pasukan operasi dan jentera bantuan bencana dari pusat wilayahnya di seluruh negara bagi mengukuhkan operasi di selatan negara itu.

“Pasukan ini bekerja rapat dengan pihak berkuasa wilayah bagi memastikan penduduk terjejas menerima bantuan secepat mungkin,” katanya dalam kenyataannya pada Ahad (23 Nov).

Encik Teerapat berkata sehingga 6.00 pagi pada Ahad (23 Nov), banjir masih melanda 10 wilayah selatan iaitu Surat Thani, Krabi, Nakhon Si Thammarat, Trang, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala dan Narathiwat.

Beliau berkata banjir menjejas 86 daerah dan 515 daerah kecil, serta lebih 3,600 kampung.

Ini melibatkan lebih 650,000 isi rumah atau lebih 1,475,000 orang.

“DDPM telah mengarahkan pusat pencegahan bencana wilayah di seluruh negara untuk mengerahkan jentera bantuan dan pasukan operasi ke selatan negara ini bagi menyokong usaha yang diketuai oleh DDPM Wilayah 11 (Surat Thani) dan Wilayah 12 (Songkhla) dalam membantu masyarakat yang terjejas,” katanya.

Sementara itu, di kawasan utara dan tengah Thailand, 11 wilayah - Phitsanulok, Nakhon Sawan, Uthai Thani, Sing Buri, Chainat, Ang Thong, Suphan Buri, Phra Nakhon Si Ayutthaya, Pathum Thani, Nonthaburi dan Nakhon Pathom - masih dilanda banjir akibat limpahan sungai dan banjir kilat di Lembangan Sungai Chao Phraya.

Encik Teerapat berkata banjir di kawasan itu meliputi 49 daerah, 440 daerah kecil dan lebih 2,800 kampung.

Ini menjejas lebih 144,000 isi rumah atau lebih 488,000 orang.

“Paras air telah mula surut secara keseluruhan. DDPM akan terus memantau situasi dan menyelaras usaha bantuan sehingga keadaan kembali pulih,” katanya.

Pihak berkuasa menggesa penduduk di kawasan berisiko tinggi agar mengikuti perkembangan dan amaran rasmi dengan teliti.

Mereka yang diarahkan berpindah diminta segera menuju ke kawasan selamat yang ditetapkan.
 
Sumber : Bernama/NJ/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita