Wifi percuma di Pulau Pinang dihentikan mulai 13 Feb
Perkhidmatan wifi percuma di Pulau Pinang atau 'Penang Free WiFi' (PFW) akan dihentikan bermula 13 Februari ini, berikutan kelajuan internetnya yang kurang memuaskan.

Gambar petikan skrin Penang Free WiFi.
GEORGE TOWN: Perkhidmatan wifi percuma di Pulau Pinang atau 'Penang Free WiFi' (PFW) akan dihentikan bermula 13 Februari ini, berikutan kelajuan internetnya yang kurang memuaskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, berkata Kerajaan Negeri kini dalam usaha untuk menambah baik perkhidmatan sedia ada memandangkan kelajuannya tidak setimpal dengan mutu perkhidmatan dan jumlah penggunaannya.
"Pada kelajuan sedia ada, PFW kini berkelajuan 512 kbps bagi setiap AP (access point) manakala kelajuan keseluruhannya pula 375 mbps.
"Jadi, untuk kelajuan PFW akan datang kita akan tingkatkan kepada 1.5 gbps dengan minimum 1,560 APs yang bermaksud 2 mbps setiap AP dengan kemampuan menampung 50 orang pengguna pada setiap masa," katanya semasa sidang media selepas merasmikan pembukaan HMC Clinic di Solaris Square, hari ini (19 Jan).
Beliau berkata perkhidmatan PFW sedia ada hanya mampu menampung 30 pengguna bagi satu-satu masa dan jumlah maksimum penggunaannya ialah 46,800 orang.
"Dari tahun 2009 ia dilancarkan sehingga kini, terdapat lebih 670,000 jumlah login," katanya.
Encik Zairil berkata Kerajaan Negeri memutuskan perkhidmatan PFW diteruskan secara 'co-branding' melalui penawaran secara permohonan cadangan (RFP) yang dijangka dimulakan pada suku pertama tahun ini.
Beliau berkata tujuan penawaran melalui RFP itu untuk menggalak idea kreatif dan inovatif daripada syarikat yang terlibat dalam pembangunan jaringan infrastruktur telekomunikasi selain meningkatkan pengalaman pengguna.
Menurut beliau, khidmat PFW yang baru akan diumumkan pada Julai ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.