Skip to main content

Dunia

WHO teliti semua hipotesis asal-usul COVID-19

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meneliti semua hipotesis mengenai asal-usul COVID-19, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu taklimat pada Jumaat (12 Feb), selepas Washington menyatakan ia mahu mengkaji semula data daripada misi yang diketuai WHO ke China.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO teliti semua hipotesis asal-usul COVID-19

Lambang di luar sebuah bangunan WHO di Geneva, Switzerland (Gambar: REUTERS/Denis Balibouse)

Diterbitkan : 13 Feb 2021 12:54PM Dikemas Kini : 13 Feb 2021 12:58PM

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meneliti semua hipotesis mengenai asal-usul COVID-19, kata Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu taklimat pada Jumaat (12 Feb), selepas Washington menyatakan ia mahu mengkaji semula data daripada misi yang diketuai WHO ke China.

Misi itu, yang menghabiskan masa empat minggu di China untuk mengenal pasti asal usul pandemik COVID-19, menyatakan minggu ini bahawa pihaknya tidak lagi meneliti lebih lanjut persoalan sama ada virus itu berasal dari sebuah makmal, yang dianggapnya sangat tidak mungkin.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump yang meninggalkan Rumah Putih bulan lalu menyatakan ia mengesyaki virus itu mungkin berasal dari sebuah makmal di China, satu dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Beijing.

"Beberapa pertanyaan ditimbulkan mengenai sama ada beberapa hipotesis tidak lagi diteliti. Selepas bercakap dengan beberapa anggota pasukan itu, saya ingin mengesahkan bahawa semua hipotesis tetap diteliti dan memerlukan analisis dan kajian lebih lanjut," kata Encik Tedros.

"Sebahagian tugas itu mungkin di luar jangkauan dan skop misi ini. Kami sentiasa menekankan bahawa misi ini tidak akan menemui semua jawapan, tetapi ia menambah maklumat penting yang membawa kami lebih dekat kepada memahami asal usul virus COVID-19," tambahnya.

Encik Tedros berkata ringkasan laporan penemuan misi itu mungkin diterbitkan seawal minggu depan, disusuli laporan muktamad "dalam beberapa minggu mendatang". Kedua-duanya akan didedahkan kepada umum.

Misi itu menyatakan hipotesis-hipotesis utamanya adalah bahawa virus itu berasal dari kelawar, meskipun ada beberapa senario tentang bagaimana ia menular ke manusia, mungkin dengan menjangkiti spesies haiwan lain dahulu.

Bila ditanya mengapa misi itu tidak yakin bahawa makmal boleh menjadi sumbernya, Peter Ben Embarek, ketua misi itu, berkata semasa taklimat pada Jumaat bahawa para saintis dari makmal di Wuhan telah memberitahu pasukannya bahawa mereka tidak memiliki virus itu. Sekiranya mereka mengkajinya sebelum pandemik, katanya, ia tidak akan dirahsiakan.

"Biasanya penyelidik makmal yang mengkaji dan menemui virus baru akan segera menerbitkan penemuan mereka. Itu adalah amalan biasa di seluruh dunia, khususnya dengan virus baru yang menarik," katanya.

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita