Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO teliti laporan virus cacar monyet dikesan dalam air mani

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti laporan yang menyatakan virus cacar monyet dikesan dalam air mani pesakit, meneroka kemungkinan penyakit itu boleh berjangkit menerusi aktiviti seksual.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO teliti laporan virus cacar monyet dikesan dalam air mani

Gambar mikroskop elektron pada 2003 yang menunjukkan virion cacar monyet yang matang (kiri) dan virion yang belum matang (kanan). (Gambar: AP/CDC/Cynthia S Goldsmith, Russell Regner)

Diterbitkan : 16 Jun 2022 07:35AM Dikemas Kini : 16 Jun 2022 07:35AM
LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang meneliti laporan yang menyatakan virus cacar monyet dikesan dalam air mani pesakit, meneroka kemungkinan penyakit itu boleh berjangkit menerusi aktiviti seksual.

Demikian menurut seorang pegawai WHO pada Rabu (15 Jun) seperti dipetik Reuters.

Ketika ini, kebanyakan kes jangkitan cacar monyet - sebahagian besarnya tertumpu di Eropah - dikesan dalam kalangan pasangan seksual yang mempunyai kontak rapat.

WHO mengulangi bahawa virus berkenaan berjangkit menerusi kontak rapat secara peribadi.

Sejak beberapa hari lalu, saintis dilaporkan mengesan DNA virus dalam air mani beberapa pesakit cacar monyet di Itali dan Jerman. Ini termasuk satu sampel kajian makmal yang mencadangkan bahawa virus yang dikesan dalam air mani seorang pesakit berupaya untuk menjangkiti individu lain dan membiak.

Pengurus kes cacar monyet di WHO Eropah, Catherine Smallwood, berkata tidak diketahui sama ada laporan baru-baru ini tersebut membayangkan bahawa virus cacar monyet boleh berjangkit melalui hubungan seksual.

"Kami bear-benar perlu memberi tumpuan kepada kaedah jangkitan yang paling kerap berlaku dan jelas kami dapat melihat kaitannya dengan sentuhan antara kulit dengan kulit," katanya ditukil Reuters.

Lebih 1,300 kes penyakit berjangkit itu dikesan di kira-kira 30 negara sejak awal Mei. Kebanyakan kes yang dilaporkan itu melibatkan pesakit lelaki yang menjalin hubungan seks dengan lelaki.

Penularan cacar monyet mencetuskan kebimbangkan memandangkan virus itu jarang sekali dikesan di luar Afrika, di mana ia adalah endemik, dan kebanyakan kes di Eropah tidak berkaitan dengan perjalanan ke benua itu.

Sedang jangkitan itu merebak, WHO menyarankan vaksinasi yang disasarkan kepada kontak rapat termasuk pekerja jagaan kesihatan. Namun, agensi itu memberi amaran bahawa ia sudahpun melihat terdapat keperluan untuk menyimpan bekalan vaksin.
 
Sumber : Reuters/FZ/fz

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa