WHO tarik balik status darurat kesihatan global bagi mpox
Dua wanita du Igabi keluar dari Pusat Jagaan Kesihatan Utama selepas terima suntikan vaksin mpox. (Gambar fail: Reuters/Nuhu Gwamnar)
GENEVA: Mpox atau cacar monyet bukan lagi satu darurat kesihatan global, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyusuli kemerosotan berterusan dalam jumlah kes dan kematian di Republik Demokratik Congo dan negara-negara lain yang terjejas.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan "Kecemasan Kesihatan Global yang berpotensi mencetuskan kebimbangan peringkat antarabangsa" (PHEIC) pada Ogos 2024 setelah wabak mpox serampang dua mata meletus, terutama sekali di Republik Demokratik Congo.
Ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menarik balik status itu menyusuli mesyuarat suku tahunan dengan jawatankuasan kecemasan agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai wabak mpox pada Khamis.
Encik Tedros berkata di sidang media itu bahawa beliau menerima saranan mereka untuk menggugurkan PHEIC itu.
"Keputusan itu berdasarkan kemerosotan berterusan dalam jumlah kes dan kematian di Republik Demokratik Congo dan negara-negara lain yang terjejas, termasuk Burundi, Sierra Leone dan Uganda," katanya.
"Tentu sekali, menamatkan pengisytiharan kecemasan itu tidak bermakna ancamannya sudah berakhir, mahupun respons kami akan berhenti," kata Encik Tedros sambil menambah situasi itu tetap satu darurat benua di Afrika.
Jangkitan mpox lazimnya ringan, dengan gejala ruam kulit dan demam. Bagaimanapun, ia boleh membawa maut kepada kanak-kanak kecil atau individu yang mempunyai daya tahan imun yang lemah.
Pada hujung Julai, penguasa kesihatan Eropah, ECDC, menganggap risiko jangkitan bagi penduduk di rantau Eropah adalah rendah.
Sejak awal tahun ini, kes mpox dilaporkan di 81 negara di seluruh dunia. Sejak Januari, 34,386 kes dan 138 kematian dilaporkan kepada WHO (sehingga 28 Ogos).
WHO menganggarkan angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi, kerana tidak semua kes didiagnosis dan direkodkan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.