WHO syor pelitup bagi penerbangan jarak jauh; varian COVID-19 baru Omicron sedang merebak
Negara-negara harus mempertimbangkan untuk mengesyorkan agar penumpang dalam penerbangan jarak jauh, memakai pelitup memandangkan penularan pesat subvarian Omicron COVID-19 terbaru di Amerika Syarikat, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (10 Jan).

(Gambar: AP/Nam Y Huh)
LONDON: Negara-negara harus mempertimbangkan untuk mengesyorkan agar penumpang dalam penerbangan jarak jauh memakai pelitup memandangkan penularan pesat subvarian Omicron COVID-19 terbaru di Amerika Syarikat, kata pegawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Selasa (10 Jan).
Di Eropah, kes subvarian XBB.1.5 dikesan dalam jumlah yang kecil tetapi semakin meningkat, kata pegawai WHO dan Eropah dalam satu taklimat media.
Penumpang harus dinasihatkan supaya memakai pelitup dalam sekitaran berisiko tinggi seperti penerbangan jarak jauh, kata pegawai kecemasan kanan WHO bagi Eropah, Catherine Smallwood, sambil menambah: "makluman ini harus dikeluarkan kepada penumpang yang tiba dari mana-mana negara di mana berlaku penularan COVID yang meluas".
Subvarian Omicron XBB.1.5 yang paling mudah berjangkit dikesan setakat ini - menyumbang 27.6 peratus kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) bagi tempoh minggu berakhir 7 Jan, kata pegawai kesihatan.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada XBB.1.5 akan menyebabkan gelombang jangkitan baru di seluruh dunia.
Ketika ini, vaksin sedia ada masih dapat terus melindungi daripada gejala teruk, kemasukan ke hospital dan kematian, kata pakar.
Kebimbangan mengenai subvarian Omicron kembali meningkat menyusuli penularan kes di AS, selain turut disumbang oleh tindakan China menarik semula dasar 'Sifar COVID-19' bulan lalu.
Menurut data WHO awal bulan ini, analisis oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit China menunjukkan dominan subvarian Omicron BA.5.2 dan BF.7 adalah antara jangkitan tempatan yang pantas menular sekarang.
VARIAN BARU
XBB.1.5 ialah satu lagi varian Omicron, yang paling mudah menular dan kini dominan di seluruh dunia.
Ia adalah cabang XBB dan pertama kali dikesan pada Oktober.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Eropah (ECDC) pada Selasa mengeluarkan saranan bagi penerbangan antara China dan Kesatuan Eropah (EU) termasuk "langkah bukan farmaseutikal untuk mengurangkan penyebaran virus, seperti memakai pelitup, ujian COVID-19 bagi pelawat, serta pemantauan air kumbahan sebagai kaedah pengesanan awal varian baru."
Agensi itu mengesyorkan "ujian rambang dijalankan ke atas sampel penumpang yang tiba" dan "pembersihan dipertingkatkan dan pembasmian kuman dalam pesawat yang melalui laluan ini."
Minggu lalu, kumpulan Tindak Balas Politik Bersepadu EU (IPCR), badan yang merangkumi pegawai 27 pemerintah EU, turut mengesyorkan semua penumpang dari China memakai pelitup dan menjalani ujian rambang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.