Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO semak saranan vaksin COVID-19 bagi era Omicron

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat penyesuaian kepada saranan vaksinasi COVID-19 bagi fasa pandemik yang baru, untuk mencadangkan bahawa kanak-kanak dan belia yang sihat mungkin tidak semestinya mendapatkan suntikan.

Anggaran Waktu Membaca:
REUTERS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat penyesuaian kepada saranan vaksinasi COVID-19 bagi fasa pandemik yang baru, untuk mencadangkan bahawa kanak-kanak dan belia yang sihat mungkin tidak semestinya mendapatkan suntikan.

Namun golongan berisiko tinggi dan lebih dewasa digalakkan supaya mendapatkan suntikan dos enam hingga 12 bulan selepas suntikan vaksin yang terakhir.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu menyatakan tujuan menumpukan usaha vaksinasi kepada mereka yang berdepan ancaman terbesar mengalami jangkitan serius dan kematian angkara COVID-19, walaupun dengan tahap imun yang tinggi dalam kalangan penduduk seluruh dunia, adalah disebabkan oleh jangkitan yang meluas dan vaksinasi.

Agensi kesihatan itu mengistilahkan penduduk berisiko tinggi sebagai golongan dewasa lebih berumur serta golongan muda dengan faktor risiko lain yang ketara.

Bagi golongan itu, agensi tersebut menggalakkan satu suntikan vaksin tambahan sama ada enam atau 12 bulan selepas dos yang terakhir, berdasarkan usia dan keadaan imunokompromi mereka.

Sementara itu, WHO menyatakan kanak-kanak dan golongan belia yang sihat diberi keutamaan rendah bagi vaksin COVID-19 dan menggesa negara-negara supaya mempertimbangkan faktor-faktor seperti beban penyakit sebelum menyarankan vaksinasi kepada kumpulan tersebut.

Menurutnya, vaksin dan dos penggalak COVID-19 adalah selamat bagi setiap peringkat umur tetapi saranan itu mengambil kira faktor-faktor lain seperti keberkesanan kos.

Menurut WHO pada September tahun lalu, penghujung pandemik kini dapat dilihat.

Dalam satu mesyuarat pada Selasa (28 Mac), agensi berkenaan menyatakan saranan terkininya itu mencerminkan gambaran tahap imun global dan situasi penyakit itu sekarang, namun ia tidak seharusnya dijadikan sebagai panduan jangka panjang berhubung bila dos penggalak diperlukan.

Saranan tersebut diberikan sedang negara-negara seluruh dunia mengambil pendekatan berbeza.

Sesetengah negara berpendapatan tinggi seperti Britain dan Kanada sudah pun menawarkan suntikan dos penggalak COVID-19 kepada golongan berisiko tinggi pada musim bunga ini, iaitu enam bulan selepas mereka mendapatkan dos yang terakhir.

"Hala tuju yang disemak itu memberi penekanan semula kepada peri pentingnya memberi vaksin kepada mereka yang berisiko menghidap penyakit serius," kata ketua Kumpulan Pakar Strategik mengenai imunisasi WHO, Hanna Nohynek, iaitu jawatankuasa yang memberi saranan tersebut.
Sumber : Reuters/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan