Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO putuskan jika cacar monyet layak diisytihar darurat kesihatan global

Anggaran Waktu Membaca:
WHO putuskan jika cacar monyet layak diisytihar darurat kesihatan global

(Gambar: Brian W.J. Mahy/Centers for Disease Control and Prevention/AFP)

Diterbitkan : 15 Jun 2022 09:55AM Dikemas Kini : 15 Jun 2022 10:08AM

LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) akan menghimpunkan sebuah jawatankuasa darurat pada Khamis depan (23 Jun) untuk menilai sama ada penularan cacar monyet menimbulkan darurat kesihatan awam yang berpotensi mencetuskan kebimbangan peringkat antarabangsa.

Ini merupakan tahap amaran yang paling tinggi yang dikeluarkan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu. Ia kini hanya dikenakan kepada pandemik COVID-19 dan polio. 

Menurut WHO, terdapat 1,600 kes disahkan cacar monyet dan lagi 1,500 yang disyaki cacar monyet tahun ini. Ia menambah 72 kematian akibat penyakit itu dilaporkan di 39 negara, termasuk di negara-negara di mana virus tersebut lazimnya merebak. 

Cacar monyet merupakan endemik di sesetengah bahagian Afrika tetapi terdapat lebih banyak kes dikesan di negara-negara Afrika dan di seluruh dunia baru-baru ini. Virus itu menyebabkan gejala seakan-akan demam selesema serta ruam pada kulit dan ia merebak melalui kontak rapat. 

Ia dianggap boleh membawa maut dalam sekitar tiga hingga enam peratus kes, menurut WHO, meskipun tiada kematian yang dilaporkan dalam kalangan kes jangkitan di luar Afrika setakat ini. Kebanyakan kematian tahun ini berlaku di Republik Demokratik Congo. 

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata sudah masanya untuk mempertimbangkan bagi memperhebatkan tindak balas terhadap cacar monyet kerana virus itu berkelakuan luar jangkaan, dengan lebih banyak negara terjejas. Beliau menekan terdapat keperluan untuk membuat penyelerasan di peringkat antarabangsa. 

Mesyuarat jawatankuasa itu pada minggu depan akan merangkumi pakar-pakar global tetapi Ketua Pengarah WHO akan memberikan kata muktamad sama ada penularan cacar monyet layak dianggap sebagai darurat kesihatan sejagat atau dikenali sebagai PHEIC. 

Selama beberapa minggu lalu, para pakar sudah menggesa WHO supaya mengambil tindakan lebih pantas selepas respons awal agensi itu terhadap pandemik koronavirus mengundang kritikan.

Selain COVID dan polio, penularan penyakit-penyakit lain juga pernah diisytiharkan sebagai PHEIC, seperti Ebola pada 2014. 

Sebuah jawatankuasa juga, bagaimanapun, boleh menghalang daripada meningkatkan tahap kecemasan sesebuah penyakit.

Apabila sebuah jawatankuasa darurat WHO ditubuhkan untuk mempertimbangkan sama ada penularan demam kuning di Afrika Barat pada 2016 layak diiystiharkan sebagai tahap ancaman tertinggi agensi itu, ia akhirnya tidak memutuskan sedemikian. 

Penentuan WHO bahawa sesuatu penularan dianggap sebagai darurat kesihatan sejagat boleh membantu mempercepatkan penyelidikan dan pendanaan untuk membendung penularan penyakit berkenaan. 

Encik Tedros juga berkata WHO sedang bekerjasama dengan rakan-rakan kongsinya untuk mengubah nama penyakit cacar monyet dan variannya selain mengusahakan kaedah untuk membantu perkongsian vaksin-vaksin yang tersedia dengan lebih saksama. 

Sesetengah negara sudahpun mula memberikan suntikan vaksin cacar kepada pekerja kesihatan dan kontak rapat pesakit cacar monyet. Cacar adalah virus yang berhubung kait dengan cacar monyet, namun lebih serius, dan ia sudahpun dibasmikan pada 1980.

WHO mengeluarkan garis panduan baru mengenai vaksinasi cacar monyet pada Selasa (14 Jun). 

Sumber : Reuters/NY/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa