Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO putuskan cacar monyet belum boleh diisytihar darurat kesihatan awam

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu (25 Jun) menyatakan penyakit cacar monyet yang kini merebak di lebih 50 negara belum boleh dikategorikan sebagai Darurat Kesihatan Awam antarabangsa tahap amaran tertinggi WHO, lapor Xinhua.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO putuskan cacar monyet belum boleh diisytihar darurat kesihatan awam

Vesikel cacar monyet di tangan seorang individu yang dijangkiti penyakit itu. (Gambar: iStock)

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu (25 Jun) menyatakan penyakit cacar monyet yang kini merebak di lebih 50 negara belum boleh dikategorikan sebagai Darurat Kesihatan Awam antarabangsa tahap amaran tertinggi WHO, lapor Xinhua.

Bagaimanapun, menurut sebahagian anggota Jawatankuasa Kecemasan WHO dalam satu laporan selepas bersidang pada Khamis lalu, risiko jangkitan sudah merebak lebih meluas serta semakin meningkat ke atas penduduk dan ia tidak boleh dibiarkan.

Laporan itu juga menyatakan aktiviti virus cacar monyet diabaikan dan tidak dikawal dengan baik selama bertahun-tahun di negara-negara di Wilayah Afrika WHO.

"Mesyuarat yang diadakan jawatankuasa itu sendiri mencerminkan kebimbangan yang semakin meningkat terhadap penularan cacar monyet di peringkat antarabangsa," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga bersedia untuk bersidang semula bagi menilai perkembangan wabak berkenaan. 

Jawatankuasa itu turut menggariskan beberapa syarat untuk penilaian semula perlu dibuat seperti peningkatan kadar pertumbuhan kes yang dilaporkan dalam tempoh 21 hari akan datang, penularan jangkitan yang lebih ketara di dalam dan luar negara, penambahan bilangan kes melibatkan kumpulan rentan, peningkatan morbiditi, kematian serta kadar kemasukan ke hospital.

Encik Tedros menyeru agar pengawasan dan diagnostik dipertingkatkan, pelibatan komuniti dan komunikasi risiko, penggunaan terapeutik, vaksin dan langkah kesihatan awam yang sesuai termasuk pengesanan kontak dan kuarantin.

Negara anggota juga disaran untuk bekerjasama, berkongsi maklumat dan melibatkan diri dengan masyarakat terjejas supaya langkah keselamatan kesihatan awam dapat disampaikan dengan cepat dan berkesan.

Pelbagai kelompok virus cacar monyet telahpun dilaporkan dalam beberapa minggu yang lalu di beberapa negara Eropah dan Amerika Utara, wilayah yang biasanya virus itu tidak dikesan.

Endemik cacar monyet secara geografi terhad kepada Afrika Barat dan Tengah, manakala pengesanan kes cacar monyet yang disahkan dan disyaki tanpa sebarang sejarah perjalanan ke kawasan endemik di beberapa negara adalah tidak bersifat lazim, menurut WHO.

Cacar monyet atau monkeypox, pertama kali dikesan dalam monyet makmal pada 1958. Ia diandaikan menular dari haiwan liar seperti tikus ke manusia, atau dari manusia ke manusia.
Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan