Skip to main content

Dunia

WHO lulus vaksin pertama mpox untuk kegunaan global

Anggaran Waktu Membaca:
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Jumaat (13 Sep) mengumumkan kelulusan vaksin MVA-BN, yang dibangunkan oleh Bavarian Nordic A/S, sebagai vaksin pertama mpox yang dimasukkan ke dalam senarai prakelayakan, lapor Xinhua.

Kelulusan prakelayakan ini dijangka meningkatkan akses kepada vaksin di kawasan yang menghadapi wabak mendesak, terutamanya di Afrika, membantu usaha untuk mengurangkan penularan dan mengawal penyebaran penyakit itu.

"Prakelayakan pertama vaksin terhadap mpox ini merupakan langkah penting dalam perjuangan kita memerangi penyakit ini, baik dalam konteks wabak semasa di Afrika dan pada masa hadapan," kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus.

Beliau menekankan keperluan untuk meningkatkan perolehan dan pengedaran vaksin bagi memastikan akses yang saksama bagi mereka yang paling berisiko.

Vaksin itu diberikan dalam dua dos, selang empat minggu, untuk orang dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Keputusan prakelayakan itu akan mempercepatkan perolehan oleh agensi antarabangsa dan mempercepatkan kelulusan kawal selia negara, menurut Penolong Ketua Pengarah WHO Yukiko Nakatani.

Data semasa menunjukkan bahawa vaksin itu 76 peratus berkesan selepas satu dos dan 82 peratus berkesan selepas dua dos.

WHO menekankan keperluan untuk pengumpulan data berterusan mengenai keselamatan dan keberkesanan vaksin.  
Sumber : AGENCIES/IM/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita