WHO lapor satu lagi rekod kes baru COVID-19, naik hampir 260,000
Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan peningkatan rekod kes COVID-19 di seluruh dunia untuk hari kedua berturut-turut, dengan jumlahnya meningkat sebanyak 259,848 dalam tempoh 24 jam.
(Gambar: Reuters)
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia melaporkan peningkatan rekod kes COVID-19 di seluruh dunia untuk hari kedua berturut-turut, dengan jumlahnya meningkat sebanyak 259,848 dalam tempoh 24 jam.
Kenaikan terbesar yang dilaporkan pada Sabtu (18 Jul) adalah dari Amerika Syarikat, Brazil, India dan Afrika Selatan, menurut satu laporan harian. Rekod WHO untuk kes baru sebelum ini adalah 237,743 pada Jumaat.
Angka korban melonjak sebanyak 7,360, kenaikan terbesar dalam sehari sejak 10 Mei. Jumlah purata kematian adalah 4,800 sehari pada Julai, meningkat sedikit daripada purata 4,600 sehari pada Jun.
Jumlah keseluruhan kes virus korona di dunia melepasi angka 14 juta pada Jumaat, menurut data Reuters, menandakan satu lagi peristiwa penting dalam penularan penyakit itu yang telah meragut hampir 600,000 nyawa dalam tujuh bulan. Dengan peningkatan itu, 1 juta kes telah dilaporkan dalam kurang 100 jam.
WHO melaporkan 71,484 kes baru di Amerika Syarikat, 45,403 di Brazil, 34,884 di India dan 13,373 di Afrika Selatan.
India pada Jumaat menjadi negara ketiga di dunia yang mencatat lebih dari 1 juta kes COVID-19, didahului hanya Amerika Syarikat dan Brazil. Para pakar penyakit epidemik berkata India belum mencapai jumlah kemuncak jangkitan dan ini akan mengambil masa lagi beberapa bulan.
Kes di Brazil melepasi angka 2 juta pada Khamis, dua kali ganda berbanding kurang sebulan lalu dan meningkat hampir 40,000 sehari. Tindak balas di peringkat negeri dan bandar kurang berkesan di Brazil tanpa dasar yang diselaraskan dengan ketat oleh pemerintah persekutuan.
Amerika Syarikat, yang mendahului negara-negara di dunia dengan lebih 3.7 juta kes, juga telah berusaha untuk mengekang wabak di peringkat negara dan tempatan namun kejayaannya terhad.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.