Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO kerah pasukan pakar, bekalan perubatan kepada mangsa gempa Turki-Syria

Anggaran Waktu Membaca:
LONDON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengerahkan pasukan pakar dan penerbangan dengan bekalan perubatan ke Turki dan Syria selepas gempa bumi kuat melanda kedua-dua negara itu pada Isnin (6 Feb).

Pertubuhan itu akan menghantar delegasi peringkat tinggi untuk menyelaraskan responsnya serta tiga penerbangan dengan bekalan perubatan, satu daripadanya sudah dalam perjalanan ke Istanbul, kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus semasa taklimat media pada Rabu (8 Feb).

"Keperluan kesihatan sangat besar dan ribuan orang juga cedera," kata wakil WHO untuk Syria, Dr Iman Shankiti.

Jumlah korban membabitkan kedua-dua negara kini melebihi 12,000 mangsa.

Pegawai WHO sebelum ini menganggarkan angka korban mungkin mencecah lebih 20,000 selepas bencana itu.

Di Turki, wakil WHO Batyr Berdyklychev berkata, lebih 53,000 orang cedera dan gempa susulan berterusan.

Pengarah Kecemasan WHO Mike Ryan berkata selain kit trauma, sokongan kesihatan mental juga penting untuk mangsa yang terselamat serta menyokong keperluan perubatan lain yang berterusan.

WHO memperuntukan AS$3 juta (S$4 juta) bagi bantuan awalnya.

Pengurus insiden WHO untuk gempa bumi, Rob Holden berkata ramai orang memerlukan sokongan dengan 'keperluan asas kehidupan' seperti air bersih dan tempat perlindungan dalam keadaan cuaca yang semakin memburuk.

"Kami berada dalam bahaya sebenar untuk melihat bencana yang boleh menyebabkan lebih ramai orang cedera daripada bencana awal jika kami tidak bergerak dengan niat dan intensiti yang sama seperti yang kami lakukan di bahagian mencari dan menyelamat," katanya.
Sumber : Reuters/HY/hy

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan