Skip to main content

Dunia

WHO isytihar wabak polio di M'sia tamat, kata Khairy Jamaluddin

Wabak polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat (10 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
WHO isytihar wabak polio di M'sia tamat, kata Khairy Jamaluddin

Gambar fail seorang pekerja kesihatan memberikan vaksin polio (Gambar: AFP/Noorullah Shirzada)

Diterbitkan : 11 Sep 2021 08:09PM Dikemas Kini : 11 Sep 2021 08:10PM

PUTRAJAYA: Wabak polio di Malaysia diisytiharkan tamat susulan perutusan rasmi Pejabat Perwakilan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ke Malaysia, Brunei dan Singapura kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada Jumaat (10 Sep).

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata pengisytiharan itu dilakukan berdasarkan penilaian oleh pasukan penilai yang terdiri daripada panel pakar antarabangsa yang telah melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap tindakan kawalan dan pencegahan wabak polio yang dijalankan di Malaysia.

"Berdasarkan penilaian tersebut, usaha Malaysia dalam kawalan dan pencegahan wabak tersebut telah diiktiraf sebagai berjaya menghentikan penularan wabak polio," katanya dalam satu kenyataan hari ini (11 Sep).

Penyakit polio adalah penyakit berjangkit disebabkan virus polio yang menyerang sistem saraf manusia dan boleh menyebabkan kelumpuhan kekal sepanjang hayat. Ia juga boleh menyebabkan kegagalan pernafasan dan membawa maut.

Encik Khairy berkata susulan kejayaan menamatkan wabak polio di Malaysia, masyarakat perlu terus berwaspada kerana masih terdapat negara di dunia yang belum bebas daripada jangkitan polio.


"Kita perlu pastikan liputan imunisasi polio sentiasa tinggi bagi mengekalkan imuniti kelompok terhadap jangkitan polio dan seterusnya Malaysia terhindar daripada ancaman wabak polio pada masa akan datang. Selain daripada itu, KKM akan mempastikan survelan ‘Acute Flaccid Paralysis’ (AFP) dan survelan persekitaran yang berkualiti terus dilaksanakan supaya sebarang kes polio dapat dikesan," katanya.

Encik Khairy berkata pada penghujung 2019, Malaysia dikejutkan dengan pengesahan satu kes polio yang dikesan di Sabah, selepas 27 tahun negara bebas daripada kes polio.

Susulan pengesahan kes polio tersebut, usaha pencegahan dan kawalan wabak polio giat dijalankan, dan masih diteruskan walaupun negara turut dilanda pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata KKM telah mempertingkatkan usaha pengesanan kes polio menerusi survelan AFP di seluruh negara.

AFP ialah gejala akut menyerupai polio yang dipantau oleh KKM bagi mengesan kes polio dan dalam pelaksanaan survelan itu, setiap kes AFP dalam kalangan kanak-kanak berumur di bawah 15 tahun diambil sampel najis untuk mengesan virus polio.

Encik Khairy berkata dari 1 Jan 2019 hingga 9 Sept 2021, sebanyak 426 kes AFP telah dilaporkan di seluruh negara dan empat daripadanya telah disahkan dijangkiti polio, kesemuanya dilaporkan di Sabah yang masing-masing berumur tiga bulan, tiga tahun, lapan tahun dan 11 tahun, sementara kes yang terakhir telah mula mengalami gejala kelumpuhan pada 18 Jan tahun lepas.

Katanya kes yang disahkan polio itu didapati tiada atau tidak lengkap imunisasi polio. 

Sumber : Bernama/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita