Skip to main content

Dunia

WHO gesa perjanjian pandemik baharu selepas Amerika tarik diri

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan perjanjian global untuk menangani pandemik masa depan perlu dimeterai segera selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perbincangan perjanjian tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
WHO gesa perjanjian pandemik baharu selepas Amerika tarik diri

Ibu pejabat WHO di Geneva. (Gambar fail: AFP/Fabrice Coffrini)

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 19 Feb 2025 07:37AM Dikemas Kini : 19 Feb 2025 07:39AM
GENEVA: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus menegaskan perjanjian global untuk menangani pandemik masa depan perlu dimeterai segera selepas Amerika Syarikat menarik diri daripada perbincangan perjanjian tersebut.

Dr Tedros berkata, tiada negara boleh melindungi diri sendiri daripada pandemik yang akan datang secara sendirian, tiga hari selepas pentadbiran Presiden Donald Trump memaklumkan penarikan diri Amerika dari rundingan tersebut.

Katanya lagi, dunia kini berada pada titik penting dan perjanjian pandemik mesti diselesaikan sebelum Sidang Puncak Kesihatan Dunia pada Mei ini.

Beliau turut mengingatkan para anggota WHO mengenai kesan COVID-19 yang telah meragut lebih 20 juta nyawa, dan mengatakan bahawa usaha menangani pandemik seterusnya sangat kritikal dan perlu dilakukan dengan segera.

Proses rundingan dimulakan pada Disember 2021 sebagai langkah pencegahan, berikutan pengalaman COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sistem kesihatan global dan ekonomi.

Amerika, yang sering mengkritik WHO berhubung cara ia menangani pandemik COVID-19, memulakan proses penarikan diri pada Januari 2021 yang dimuktamadkan pada 14 Februari lalu.

Dr Tedros menegaskan bahawa negara-negara tidak dapat melindungi diri mereka sendiri dengan perjanjian dua hala dan berharap Amerika akan mempertimbangkan semula keputusannya untuk menarik diri.

Dalam perkembangan ini, WHO menggesa negara-negara anggota yang tinggal untuk memastikan perjanjian itu diselesaikan.

Rangkaian Tindakan Pandemik menegaskan bahawa walaupun terdapat cabaran geopolitik, negara-negara anggota tidak boleh mundur daripada misi ini.

Sementara itu, Spark Street Advisors mengingatkan bahawa sistem berbilang hala global kini tergugat dan perjanjian pandemik adalah langkah penting untuk melawan kemunduran yang berlaku.
Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita