Skip to main content

Iklan

Iklan

Dunia

WHO gesa China kongsi data khusus, terkini situasi COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
WHO gesa China kongsi data khusus, terkini situasi COVID-19

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 31 Dec 2022 07:43AM Dikemas Kini : 31 Dec 2022 08:52AM
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)pada Jumaat (30 Dis) sekali lagi menggesa pegawai kesihatan China supaya sentiasa berkongsi maklumat khusus dan data terkini mengenai situasi COVID-19 di negara itu, ketika ia terus menilai lonjakan kes jangkitan yang dihadapi.

WHO sebelum ini telah meminta pegawai China agar berkongsi lebih banyak data penjujukan genetik, serta data mengenai kemasukan ke hospital, kematian dan vaksinasi.

Angka rasmi dari China telah menjadi panduan yang tidak boleh dipercayai kerana kurang ujian dilakukan di seluruh negara berikutan pelonggaran dasar "sifar COVID" yang ketat baru-baru ini.

WHO sebelum ini menyatakan bahawa China mungkin bergelut untuk mengumpulkan data jangkitan COVID-19.

Agensi itu telah menjemput saintis China untuk membentangkan data terperinci mengenai penjujukan virus pada mesyuarat kumpulan penasihat teknikal yang dijadual diadakan pada 3 Januari 2023.

Jumlah jangkitan COVID meningkat di seluruh China bulan ini selepas Beijing memansuhkan dasar sifar COVID termasuk ujian PCR biasa ke atas penduduknya.

Sebagai tindak balas, Amerika Syarikat, Korea Selatan, India, Itali, Jepun dan Taiwan telah mengenakan ujian COVID untuk pelancong dari China.

Amerika Syarikat juga menekankan bahawa perubahan dalam dasarnya baru-baru ini disebabkan kurangnya maklumat tentang varian COVID dan kebimbangan bahawa peningkatan kes di China boleh mengakibatkan penularan varian baru virus itu.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China menyatakan pegawai kanan kesihatan negara itu bertukar-tukar pandangan mengenai koronavirus baru dengan WHO melalui satu sidang video.

Kedua-dua pihak membincangkan situasi semasa, rawatan perubatan, vaksinasi dan perkara teknikal lain, kata pihak berkuasa kesihatan China, sambil menambah bahawa lebih banyak pertukaran teknikal akan diadakan.
Sumber : Agensi berita/SU/fa

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan