Skip to main content

Dunia

WHO gantung operasi di hab logistik kecemasan Dubai

Anggaran Waktu Membaca:
 WHO gantung operasi di hab logistik kecemasan Dubai
Bangunan WHO di Geneva. (Gambar: Reuters)
Diterbitkan : 06 Mar 2026 07:43AM Dikemas Kini : 06 Mar 2026 07:44AM
GENEVA: Peperangan di Timur Tengah memaksa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk menggantung operasi di hab logistik kecemasan globalnya di Dubai, kata ketua agensi itu pada Khamis (5 Mac).

Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan kebimbangan terhadap konflik yang tercetus pada Sabtu lalu dengan serangan Amerika Syarikat-Israel ke atas Iran, dan memberi amaran bahawa "kesannya menjangkau lebih daripada negara-negara yang terjejas secara langsung".

"Operasi di hab logistik WHO untuk kecemasan kesihatan global di Dubai kini ditangguhkan atas faktor keadaan tidak selamat," katanya dalam satu sidang media.

Tahun lalu, hab logistik Dubai tersebut memproses lebih 500 pesanan kecemasan untuk 75 buah negara di seluruh dunia, kata Hanan Balkhy, pengarah serantau WHO bagi Mediterranean Timur kepada wartawan.

"Rangkaian bekalan kesihatan kemanusiaan kini berada dalam bahaya," amaran beliau.

Cik Hanan menjelaskan bahawa "operasi hab itu ditangguhkan buat sementara waktu disebabkan faktor keadaan tidak selamat, penutupan ruang udara, dan sekatan yang menjejaskan akses ke Selat Hormuz".

Gangguan tersebut, katanya, "menghalang akses kepada bekalan kesihatan kemanusiaan bernilai AS$18 juta (S$23 juta), manakala penghantaran lain bernilai AS$8 juta (S$10 juta) tidak dapat sampai ke hab tersebut".

Ia menjejaskan lebih daripada 50 permintaan bekalan kecemasan dari 25 buah negara, serta ubat-ubatan bernilai kira-kira AS$6 juta (S$8 juta) yang ditujukan untuk Carikan Gaza.

Beliau turut memberi amaran bahawa bekalan makmal polio bernilai AS$1.6 juta (S$2 juta) juga sedang terhalang, yang boleh memberikan kesan buruk kepada Afghanistan dan Pakistan, di mana penyakit itu adalah endemik.
Sumber : Reuters/NK/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita