Skip to main content

Dunia

WHO, CDC Afrika lancar pelan respons Ebola bernilai AS$518 juta di tengah penularan wabak

Anggaran Waktu Membaca:
WHO, CDC Afrika lancar pelan respons Ebola bernilai AS$518 juta di tengah penularan wabak

Dr. Tibenderana Katho Blaise dari Congo yang meninggal dunia akibat virus Ebola dikebumikan di Bunia. (Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 06 Jun 2026 06:50AM
GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Afrika melancarkan pelan tindak balas bersama terhadap wabak Ebola pada Jumaat (5 Jun), yang memerlukan dana sebanyak AS$518 juta (S$667.9 juta) bagi membendung penularan pantas wabak itu di Congo serta mengelakkannya daripada terus merebak ke wilayah lain.

Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang bercakap selepas pulang dari pusat penularan wabak berkenaan di wilayah Ituri berkata, pasukan penyelamat masih "ketinggalan" dalam usaha mengekang virus itu yang terus merebak, lapor Anadolu Ajansi.

"Wabak ini merebak dengan pantas," kata Encik Tedros dalam taklimat media bersamanya secara hibrid, sambil menambah bahawa langkah tindak balas mesti dipacu oleh kepimpinan pemerintah, pelibatan masyarakat serta penyelarasan erat dalam kalangan rakan.

Pelan kesiapsiagaan dan tindak balas bersama yang dibangunkan oleh WHO, CDC Afrika  dan rakan itu adalah berasaskan prinsip "satu pelan, satu belanjawan, satu pasukan" yang merangkumi penyelarasan kecemasan, pengawasan, ujian makmal, pencegahan jangkitan, penjagaan klinikal, pelibatan masyarakat, penyelidikan serta logistik.

Encik Tedros berkata pelan bagi tahun ini yang mempunyai had masa tertentu itu menelan belanja sebanyak AS$518 juta.

Sementara itu, Ketua Pengarah CDC Afrika Jean Kaseya berkata wabak berkenaan sudah mencatat sebanyak 397 kes yang disahkan dan 63 kematian, dengan lebih 5,009 kontak rapat kini di bawah pemantauan.

Beliau menganggarkan risiko kematian kes adalah sekitar 15.9 peratus.

Sebelas negara kini dianggap dalam keadaan berisiko. Sejak wabak itu diisytiharkan pada 15 Mei, ia sudah merebak dari satu wilayah dan tiga zon kesihatan kepada tiga wilayah serta 26 zon kesihatan yang terjejas di Congo, kata Encik Kaseya.

"Ini menunjukkan bahawa wabak ini sedang bergerak aktif, dengan pusatnya masih di Ituri, di mana terletaknya lebih 90 peratus daripada keseluruhan kes dan 70 peratus kes kematian," tegas beliau.

Encik Kaseya menyifatkan penularan jenis Bundibugyo kali ini sebagai "paling serius" daripada tiga wabak yang pernah direkodkan akibat jenis berkenaan, selain menjadi wabak Ebola "keempat terbesar" berdasarkan jumlah kes yang disahkan. Sekiranya kes jangkitan terus meningkat, ia boleh menjadi wabak ketiga terbesar, katanya.

Pihak berkuasa mendedahkan bahawa penyebaran maklumat salah, faktor ketidakselamatan serta mobiliti penduduk yang tinggi menjadi cabaran utama dalam mengekang wabak itu.

Encik Tedros memberi amaran bahawa "maklumat salah adalah hampir sama bahayanya dengan virus itu sendiri," manakala Encik Kaseya pula menyatakan terdapat segelintir masyarakat yang mempersoalkan mengapa vaksin dan rawatan masih belum tersedia walaupun wabak Ebola sudah berlaku selama hampir dua dekad.

Encik Kaseya berkata rakan-rakan sudah berjanji untuk menyumbang hampir AS$498 juta (S$642.1 juta) namun mengingatkan bahawa setakat ini hanya sebahagian kecil daripada dana itu yang sampai ke negara terjejas, sekali gus menggesa agar komitmen berkenaan ditukarkan kepada penyaluran dana sebenar.
Sumber : Bernama/Agensi berita/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita