WHO bincang status kecemasan COVID-19 pada 4 Mei

Gambar hiasan
GENEVA: Jawatankuasa Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bersidang pada Khamis (4 Mei) untuk membincangkan sama ada COVID-19 masih merupakan satu kecemasan kesihatan global.
Mesyuarat ke-15 panel itu mengenai krisis COVID-19 diadakan lebih tiga tahun selepas ia mengisytiharkan tahap amaran kecemasan tertinggi WHO sedang koronavirus merebak ke luar China.
Jawatankuasa bebas itu bersidang setiap tiga bulan untuk berbincang tentang pandemik dan melaporkannya kepada ketua WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus, yang kemudian memutuskan sama ada ia kekal sebagai satu kecemasan antarabangsa.
Mesyuarat jawatankuasa kecemasan yang dipengerusikan oleh doktor dari Perancis, Didier Houssin, dijadual bermula pada tengah hari dan dijangka berlarutan sehingga petang, meskipun ia mungkin mengambil masa selama beberapa hari sebelum hasilnya didedahkan.
Kecenderungan para pakar bagaimanapun tidak jelas, tetapi terdapat tanda-tanda yang membayangkan bahawa agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu bersikap terbuka untuk menamatkannya.
Pada Rabu (3 Mei), WHO menerbitkan strategi baru untuk melawan COVID-19 sepanjang dua tahun akan datang di mana Encik Tedros berkata, matlamatnya adalah untuk "menyokong negara-negara sedang mereka melangkah keluar daripada respons kecemasan kepada pencegahan, kawalan dan pengurusan jangka panjang wabak COVID-19".
Minggu lalu, WHO mengumumkan kematian akibat COVID-19 menjunam sebanyak 95 peratus sejak awal 2023, meskipun memberi amaran bahawa virus itu masih menular.
Trend positif itu bagaimanapun mungkin belum cukup untuk mendorong jawatankuasa kecemasan untuk menarik balik status Kecemasan Kesihatan Awam Keprihatinan Antarabangsa (PHEIC) COVID-19 - amaran tahap tertinggi WHO.
Jumlah kes jangkitan COVID-19 sudah lama merosot, tetapi apabila jawatankuasa itu kali terakhir bermesyuarat pada bulan Januari, ia memutuskan bahawa status PHEIC masih wajar.
Sejak virus itu pertama kali dikesan, lebih 765 juta kes COVID-19 dilaporkan di seluruh dunia kepada WHO, termasuk tujuh juta kematian.
Namun, agensi kesihatan PBB itu menekankan bahawa jumlah sebenar dipercayai lebih tinggi.
Selain krisis COVID-19, dua lagi PHEIC diisytiharkan WHO masih menular - virus polio yang diisytiharkan buat pertama kali pada Mei 2014 dan cacar monyet yang diisytiharkan pada Julai 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.